UCL 2020/21: Manchester United Bergaya Tebus Kehampaan Ke Atas Istanbul Basaksehir

Manchester United

Manchester United berjaya menebus kekecewaan tumbang di tangan Istanbul Basaksehir pada aksi terdahulu apabila mudah menundukkan lawan yang sama 4-1 pada perlawanan keempat kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21, sebentar tadi.

Kemenangan bergaya itu terus meletakkan The Red Devils di tangga teratas saingan Kumpulan H selepas pada satu lagi aksi,  finalis musim lalu, Paris Saint-Germain (PSG) berjaya menundukkan wakil Jerman, RB Leipzig 1-0 hasil jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Neymar.

Keadaan itu menyaksikan PSG dan Leipzig terikat di tangga kedua dengan enam mata, ketinggalan tiga mata di belakang Manchester United. Dengan persaingan yang masih terbuka, Istanbul Basaksehir di tangga terbawah dengan tiga mata juga masih berpeluang untuk memburu slot ke pusingan 16.

Tuan rumah hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua apabila Marcus Rashford melakukan gerakan solo yang berjaya melepasi kawalan pertahanan skuad bimbingan Okan Buruk itu. Bagaimanapun penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha bagi memberikan peluang buat penjaga gol, Mert Gunok menyelamatkan keadaan.

Kehampaan itu ditebus Bruno Fernandes hanya berselang lima minit kemudian apabila ledakan padu umpama peluru dari luar kawasan penalti oleh pemain tengah kelahiran Portugal itu sekali gus membolosi gawang wakil dari Turki itu.

Rashford sekali lagi hampa apabila jaringannya pada minit ke-12 dibatalkan selepas beliau yang menerima umpanan cantik daripada Fernandes terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid. Cubaan dari luar kawasan penalti oleh Fernandes ketika perlawanan memasuki minit ke-14 pula hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan.

Fernandes kemudiannya terus meletakkan nama selaku penjaring setelah kesilapan Mert yang gagal menangkap dengan baik bola hantaran lintang daripada Alex Telles membolehkannya untuk menolak dengan mudah bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-19.

Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, anak buah Ole Gunnar Solskjaer menambah jaringan ketiga pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti yang diambil Rashford selepas beliau sendiri dikasari dalam kawasan penalti oleh pemain pertahanan, Boli Bolingoli-Mbombo.

Tidak mahu terus ditekan, Istanbul Basaksehir cuba untuk memperkemaskan aksi dan menghadirkan ancaman bahaya buat jentera pertahanan United tetapi percubaan Demba Ba dari jarak dekat berjaya dihalang ketua pasukan, Harry Maguire ketika aksi separuh masa pertama berbaki dua minit untuk ditamatkan.

Bagaikan mendapat tonik berguna diberikan oleh Buruk pada waktu rehat, para pemain Istanbul Basaksehir mempamerkan aksi bertenaga apabila tampil menguasai penguasaan bola. Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-50 tetapi rembatan dari luar kawasan penalti oleh ketua pasukan, Edin Visca ditepis keluar David De Gea.

Deniz Turuc akhirnya berjaya merapatkan defisit jaringan setelah sepakan percuma yang diambilkan terus menerjah gawang walaupun De Gea berusaha untuk mengeluarkan bola. Pengadil perlawanan dari Romania, Ovidiu Hategan bagaimanapun mengesahkan bola sudah pun melepasi garisan gol.

Istanbul Basaksehir yang semakin bersemangat berusaha keras untuk menambah jaringan mereka tetapi Visca terus hampa pada minit ke-80 apabila rembatan jarak jauh yang menarik diledakkannya sekadar di singgah di palang gol Manchester United.

Ketika pasukan pelawat ghairah memberikan asakan, Mason Greenwood yang menerima umpanan cantik daripada Donny van de Beek dan kemudiannya melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan.

Melihat Daniel James mempunyai ruang yang lebih besar untuk mencipta jaringan, Greenwood mengumpan dengan baik bola di hadapan pintu gol lalu James menyudahkan peluang tersebut untuk mengesahkan kemenangan 4-1 buat United pada minit ke-92.

Keputusan lain:

Kumpulan E

Krasnodar 1-2 Sevilla

Rennes 1-2 Chelsea

Kumpulan F

Borussia Dortmund 3-0 Club Brugge

Lazio 3-1 Zenit St. Petersburg

Kumpulan G

Dynamo Kiev 0-4 Barcelona

Juventus 2-1 Ferencvaros

Kredit featured image: Kate Green/Anadolu Agency via Getty Images

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN