Dua wakil England, Liverpool dan Manchester City memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 dengan nota kemenangan selepas mencatatkan kemenangan pada perlawanan sulung masing-masing sebentar tadi.
Liverpool berjaya menundukkan Ajax 1-0 manakala Manchester City pula bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 3-1 bertemu FC Porto di Etihad Stadium.
Liverpool 1-0 Ajax Amsterdam
Susulan kehilangan khidmat Virgil van Dijk dan Joel Matip akibat kecederaan, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp telah meletakkan Fabinho di posisi pertahanan tengah dalam kunjungan ke di Johan Cruijff Arena itu.
Meskipun lebih mendominasi permainan, kemenangan yang diraih Liverpool itu tidaklah semudah yang disangka berikutan tentangan hebat diberikan skuad bimbingan Erik ten Hag itu.
Pasukan tuan rumah hampir di hadapan pada minit ke-33 apabila gandingan baik David Neres dan Quincy Promes berjaya memperdayakan pertahanan Liverpool, bagaimanapun penjaga gol, Adrian bertindak cemerlang setelah menafikan percubaan jarak dekat Promes dengan menggunakan kakinya bagi menyelamatkan keadaan.
Hanya berselang dua minit kemudian, kem Liverpool melonjak kegembiraan setelah percubaan Sadio Mane yang tersasar terkena kaki pemain pertahanan Ajax, Nicolas Tagliafico lalu bola menerjah ke gawangnya sendiri.
Ajax yang kembali menggandakan asakan sekali lagi kecewa apabila percubaan lambung dilakukan Dusan Tadic telah diselamatkan di atas garisan gol oleh Fabinho pada minit ke-44.
Memasuki babak kedua, Ajax dan Liverpool berusaha keras untuk mengubah kedudukan tetapi usaha yang dilancarkan tidak mampu untuk menambah jaringan bagi memberikan tiga mata penuh buat The Reds.
Manchester City 3-1 Porto
Sementara itu di Etihad Stadium, Manchester City tersentak pada minit ke-14 setelah gerakan solo dilakukan Luis Diaz susulan kesilapan hantaran Ruben Dias disudahkan dengan baik menerusi rembatan padu dalam kawasan penalti yang gagal dihalang Ederson Moraes.
Kelebihan jaringan pasukan pelawat itu bagaimanapun hanya mampu bertahan enam minit selepas Sergio Aguero kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti. Sepakan itu dihadiahkan apabila Pepe melakukan kekasaran terhadap Raheem Sterling dalam kawasan penalti.
Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat separuh masa pertama dan 45 minit kedua menyaksikan kebangkitan Manchester City dengan dua gol berjaya dihasilkan menerusi Ilkay Gundogan dan Ferran Torres.
Gundogan meledakkan jaringan hasil sepakan percuma menarik pada minit ke-65 manakala Torres yang masuk bagi menggantikan Aguero, pantas membalas kepercayaan Pep Guardiola hanya selepas lima minit beliau dimasukkan.
Jaringan pada minit ke-73 itu terhasil berikutan rembatan dalam kawasan penalti selepas Torres menerima umpanan daripada Phil Foden yang berjaya menewaskan penjaga gol Porto, Agustin Marchesin untuk mengesahkan kemenangan 3-1 buat Manchester City.
Keputusan penuh aksi pada awal pagi tadi:
Kumpulan A
Salzburg 2-2 Lokomotiv Moscow
Bayern Munich 4-0 Atletico Madrid
Kumpulan B
Real Madrid 2-3 Shakhtar Donetsk
Inter Milan 2-2 Borussia Moenchengladbach
Kumpulan C
Manchester City 3-1 FC Porto
Olympiacos 1-0 Marseille
Kumpulan D
Ajax 0-1 Liverpool
FC Midtjylland 0-4 Atalanta
Kredit featured image: Rico Brouwer/Soccrates/Getty Images