Jaringan pada masa kecederaan dihasilkan oleh Olivier Giroud berjaya menghadiahkan kemenangan ketiga berturut-turut buat Chelsea yang menundukkan Rennes pada aksi keempat Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21, awal pagi tadi.
Kemenangan bermakna tersebut bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah buat Chelsea, malah ia juga membolehkan skuad kendalian Frank Lampard itu melangkah ke peringkat 16 bersama Sevilla yang turut mencatatkan kemenangan 2-1 pada satu lagi aksi kumpulan E bertemu Krasnodar.
We left it late, but it's THREE points in the #UCL secured…
..and a place in the last-16! 🤩#RENCHE pic.twitter.com/ylaVKSQAWy
— Chelsea FC (@ChelseaFC) November 24, 2020
Chelsea dan Sevilla terikat dengan 10 mata apabila masing-masing mencatatkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri tetapi wakil England itu berkelebihan defisit jaringan untuk menghuni tangga pertama pada ketika ini sebelum kedua-dua pasukan bertemu sesama sendiri pada 3 Disember nanti.
Kunjungan The Blues ke Roazhon Park itu juga menyaksikan penjaga gol, Edouard Mendy kembali beraksi di padang yang telah menaikkan namanya sehingga berjaya menarik minat Chelsea untuk mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan musim panas tempoh hari.
Berbekalkan kemenangan selesa 3-0 pada aksi pertama di London, Chelsea dilihat memulakan perlawanan terutamanya pada 30 minit awal dengan cukup baik dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat.
Timo Werner yang mendapat hantaran lintang daripada Callum Hudson-Odoi bagaimanapun gagal menyempurnakan peluang terhidang ketika beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol tuan rumah, Alfred Gomis apabila percubaannya sekadar melewati palang gol.
Jaringan yang diharapkan Chelsea menjelma pada minit ke-22 selepas serangan balas pantas dimulakan Mason Mount memberikan ruang kepada Odoi yang meluru ke dalam kawasan penalti lalu disudahkan dengan tenang pemain sayap berusia 20 tahun itu.
Berselang tujuh minit kemudian, Chelsea terus memberikan tekanan buat Rennes tetapi tolakan Ben Chilwell dalam kawasan penalti setelah menerima umpanan daripada Mount berjaya ditepis Gomis.
Bagaikan tersedar daripada lamunan, Rennes yang dibimbing Julien Stephan bangkit dengan mempamerkan corak permainan lebih tersusun dan mendapat tiga peluang terbaik untuk kembali mengikat kedudukan.
Bermula dengan percubaan susulan daripada James Lea Siliki yang melewati palang gol pada minit ke-32 hasil satu serangan dari sebelah kiri pintu gol Chelsea diilhamkan oleh Jeremy Doku, Rennes memperoleh peluang menerusi rembatan padu dari luar kawasan penalti diledakkan Sehrou Guirassy tetapi Mendy lebih bersedia untuk menggagalkan usaha tersebut.
Tandukan ketua pasukan, Damien Da Silva dari jarak dekat ketika situasi sepakan sudut juga turut dinafikan penjaga gol skuad kebangsaan Senegal itu pada minit ke-42.
Memasuki babak kedua, Chelsea hampir menambah jaringan kedua tetapi Werner yang melakukan tandukan kemas setelah menerima hantaran daripada Cesar Azpilicueta dikesan terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.
Mendy terus menjadi watak utama pada perlawanan ini apabila beliau berjaya menafikan dua percubaan bahaya dijelmakan Rennes pada minit ke-73 dan 74 apabila rembatan jarak dekat Guirassy serta tandukan Gerzino Nyamsi.
Kekebalan Mendy berakhir pada minit ke-85 apabila tandukan padu Guirassy setelah menerima hantaran daripada Benjamin Bourigeaud tidak mampu dihalang penjaga gol berusia 28 tahun itu untuk kedudukan kembali terikat.
Ketika perlawanan kelihatan bakal berkesudahan dengan terikat 1-1, pemain gantian, Giroud muncul wira buat Chelsea apabila tandukan susulannya selepas percubaan awal Werner dinafikan Gomis mengesahkan tiga mata penuh buat kelab saingan Liga Perdana Inggeris itu.
And breathe….
We qualify for the @ChampionsLeague 𝗥𝗢𝗨𝗡𝗗 𝗢𝗙 𝟭𝟲!!! ⚪️🔴 #UCL #WeareSevilla #NeverSurrender pic.twitter.com/0J40A7gaza
— Sevilla FC (@SevillaFC_ENG) November 24, 2020
Sementara itu pada aksi yang berlangsung di Krasnodar Stadium, Savilla turut menghadapi situasi hampir sama dengan Chelsea apabila kelebihan Ivan Rakitic seawal minit keempat dipadamkan oleh skuad tuan rumah menerusi Wanderson pada minit ke-56.
Munir El Haddadi muncul wira Sevilla apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-95 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik buat juara Liga Europa 2019/20 itu.
Manakala, Rennes dan Krasnodar yang masing-masing mengumpul satu mata akan bersaing merebut kedudukan ketiga di mana bakal memberikan satu slot ke persaingan Liga Europa.
Kredit featured image: Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images