Diogo Jota menunjukkan mengapa beliau perlu bermula dalam kesebelasan utama berbanding Roberto Firmino dengan menjaringkan hatrik dalam perlawanan kumpulan D UEFA Champions League menentang Atalanta di Atleti Azzurri d’Italia awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Dua gol The Reds lagi dijaringkan oleh Sadio Mane dan Mohamed Salah.
Jota memulakan pesta gol Liverpool apabila menyambut hantaran cantik Trent Alexander-Arnold sebelum mengelak kawalan pertahanan Jose Luis Palomino untuk menyungkit masuk penyudah tenang.
Gol kedua pemain berusia 23 tahun ini lebih menarik. Berpunca daripada hantaran jauh Joe Gomez, Jota hanya memerlukan satu sentuhan sebelum meledak rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Atalanta Marco Sportiello.
Sebaik separuh masa kedua bermula, The Reds menjaringkan dua gol dalam masa dua minit. Kali ini, Salah memanfaatkan kegagalan sepakan penjuru Atalanta untuk menewaskan dua pertahanan melalui kelajuan, ketenangan dan teknik penyudahnya.
Tidak lama kemudian, giliran Mane pula mencetak nama sebagai penjaring. Liverpool menunjukkan keberkesanan latihan hantaran dalam Thomas Grønnemark apabila Mane berjaya menyudahkan gol hasil daripada tiga pertukaran hantaran yang bermula dengan hantaran dalam Alexander-Arnold.
Jota kemudiannya melengkapkan hatriknya apabila menyambut hantaran Mane sebelum menewaskan Sportiello dalam situasi 1v1.
Atalanta sendiri mempunyai peluang gol. Tetapi percubaan Duvan Zapata sekadar menggegar tiang. Manakala dua rembatan Luis Muriel mudah diselamatkan oleh Alisson.
Jota beri sebab untuk Firmino risau
Meskipun baru dibeli Liverpool dari Wolves dengan harga £41 juta, Jota tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kekok bermain dengan juara Premier League itu. Kini pemain Portugal itu sudah menjaringkan tujuh gol dalam 10 perlawanan.
Dibandingkan pula dengan Firmino, penyerang Brazil itu hanya menjaringkan satu daripada 10 perlawanan.
Malah kebanyakan Jota sangat penting untuk Liverpool. Ketika menentang Sheffield United, beliau menjaringkan gol kemenangan. Begitu juga dketika menentang West Ham. Dengan Liverpool bakal melawat Manchester City pada awal pagi Isnin nanti, Jurgen Klopp pastinya pening untuk memilih sama ada Jota atau terus setia dengan Firmino.
Dengan kemenangan 5-0 ini, The Reds hanya memerlukan satu sahaja kemenangan daripada baki tiga perlawanan di kumpulan D untuk layak ke pusingan 16 terakhir.
Dalam tiga edisi terkini Champions League, Liverpool telah melangkah ke dua perlawanan akhir dan menjuarai satu. Berdasarkan prestasi semasa, mereka nampak tidak mustahil untuk mengulangi pencapaian sama – walaupun bakal beraksi tanpa Virgil van Dijk pada keseluruhan musim ini.
Baca juga artikel lain yang berkaitan: