Manchester City meneruskan rentak kemenangan dalam peringkat kumpulan Champions League selepas menang selesa 3-0 ke atas Marseille.
Pelawat mendominasi dari mula hingga akhir, dengan Ferran Torres menjaringkan gol pembukaan selepas Kevin de Bruyne berjaya merobek pertahanan tuan rumah dan menghantar untuk tampanan mudah.
Marseille jarang-jarang mengancam Ederson di pintu gol City. Percubaan jarak jauh Nemanja Radonjic mudah diselamatkan. Manakala percubaan Florian Thauvin sekadar singgah ke tiang walaupun Ederson sebenarnya boleh menepis.
Apabila tuan rumah sudah mula letih, City menaikkan gear serangan. Hasilnya Ilkay Gundogan berjaya menambah gol kedua sebelum Raheem Sterling menampan mudah satu lagi bantuan gol dari de Bruyne.
Tiada penyerang, tiada masalah
City mungkin agak kurang bernasib baik dengan kecederaan penyerangnya apabila Sergio Aguero menyertai Gabriel Jesus dalam senarai penghuni bilik fisioterapi.
Tanpa penyerang, Pep Guardiola bereksperimen dengan taktikal tanpa penyerang. Ferran Torres ditugaskan bermain sebagai penyerang tengah dalam penampilan pertamanya sebagai kesebelasan utama City di Champions League. Phil Foden dan Sterling pula mengapit Torres di bahagian sayap.
Eksperimen tersebut menjadi apabila trio serangan ini berjaya menembusi barisan lima pertahanan Marseille. Sudah tentulah ia dibantu oleh kehadiran jeneral tengah mereka, de Bruyne.
Kemenangan awal pagi tadi sekali lagi membuktikan kepentingan de Bruyne kepada City. Beliau bertanggungjawab menjadikan pasukannya jauh lebih berbahaya apabila masuk pada separuh masa kedua ketika seri 1-1 dengan West Ham pada Sabtu lepas. Dan pada malam ini, de Bruyne menyumbang dua bantuan gol.
Dengan kemenangan ini, City kekal mendahului kumpulan C dengan enam mata dari dua perlawanan.
Baca juga artikel lain yang berkaitan: