Pemain sayap Kingsley Coman menjaringkan dua gol dan menyumbang satu bantuan gol untuk membantu Bayern Munich membelasah Atletico Madrid 4-0 dalam perlawanan pembukaan kumpulan A UEFA Champions League.
Dengan kemenangan ini, ia bermakna Bayern sudah menang 12 perlawanan berturut-turut dalam Champions League – rekod kejohanan paling berprestij di Eropah ini.
Bayern turun tanpa penyerang sayap Serge Gnabry yang positif COVID-19. Tetapi ketiadaan Gnabry jelas tidak mempunyai membawa sebarang masalah buat Bayern apabila mempunyai Kingsley Coman dalam skuad.
Pemain sayap Perancis itu meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-28 melalui penyudah kemas selepas menerima hantaran setepat pancaran laser dari Joshua Kimmich.
Coman kemudiannya terlibat dalam gol kedua Bayern, sekali lagi dari sayap kiri. Selepas menerima hantaran Robert Lewandowski, beliau melepasi kawalan tiga pemain Atletico untuk menghantar bola ke Leon Goretzka yang merembat padu selepas hanya satu sentuhan bola.
Atletico cuba bangkit dan berjaya menjaringkan gol menerusi percubaan Joao Felix pada awal separuh masa kedua. Tetapi gol itu dibatalkan pengadil selepas Luis Suarez didakwa menghalang penglihatan Manuel Neuer di kedudukan ofsaid.
Beberapa minit kemudian, Felix mencipta satu peluang keemasan untuk Yannick Carrasco. Bagaimanapun pemain sayap Belgium itu mengambil masa terlalu lama untuk membuat percubaan. Ini menyebabkan percubaannya meliar.
Rakan sepasukan Coman dari Perancis, Corentin Tolisso membunuh sisa-sisa harapan anak buah Diego ‘El Cholo’ Simeone untuk bangkit dengan bergaya.
Berpunca dari sepakan percuma yang gagal dikeluarkan dengan baik oleh Atletico, Tolisso kemudiannya melepaskan ledakan rembatan jarak jauh padu dari jarak 25 meter pada minit ke-66.
Gol tersebut memaksa Atletico untuk naik menyerang dan ini menjadi punca gol keempat Bayern dan kedua peribadi Coman.
Berpunca dari serangan balas, Coman menerima hantaran Thomas Mueller sebelum menyudahkan serangan balas – kali ini dari sayap kanan pula – dengan gelecekan lincir dan penyudah tenang.
Kemenangan ini menjadikan Bayern pendahulu kumpulan A selepas dua lagi pasukan, Lokomotiv Moscor dan RB Salzburg terikat 2-2.