Chelsea mencatatkan kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 apabila berjaya menundukkan Krasnodar dengan keputusan 4-0 pada aksi yang berlangsung di Krasnodar Stadium, sebentar tadi.
Kemenangan itu nyata melegakan Frank Lampard ketika jentera serangannya gagal menjaringkan sebarang gol pada dua perlawanan terakhir [bertemu Sevilla dan Manchester United].
Perlawanan yang menyaksikan para penyokong dibenarkan memasuki stadium memperlihatkan skuad tuan rumah begitu garang pada awal permainan apabila dua serangan berbahaya dijelmakan skuad bimbingan Murad Musayev tersebut.
Marcus Berg terlebih dahulu mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Chelsea dengan percubaan yang pada minit keempat yang sedikit tersasar. Tidak sampai seminit selepas percubaan itu, Danii Utkin pula mencemaskan gawang pasukan pelawat dengan rembatan menarik tetapi Edouard Mendy cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Chelsea yang menambah sengat pada jentera serangan hampir membuka jaringan pada minit ke-14 apabila dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Kaio Pantaleao terhadap Timo Werner dalam kawasan penalti.
Jorginho yang mengambil sepakan itu bagaimanapun hampa setelah percubaannya hanya singgah di tiang gol lalu terkena badan penjaga gol, Matvey Safonov. Percubaan susulan yang cuba dilakukan Werner pula dihalang Aleksandr Martynovich.
The Blues yang mendominasi sebahagian besar aksi separuh masa pertama akhirnya berjaya mendapatkan jaringan pembukaan menerusi Callum Hudson-Odoi pada minit ke-37.
⚽️⚽️ ? ? ? ? ? ? ? ? ⚽️⚽️#KRACHE pic.twitter.com/vQ0HwQ594r
— Chelsea FC (@ChelseaFC) October 28, 2020
Jaringan tersebut terhasil berpunca daripada rembatan Hudson-Odoi dalam kawasan penalti yang gagal dinafikan dengan baik oleh Safonov dan kemudiannya beliau hanya mampu melihat bola membolosi gawangnya.
Langkah Lampard membawa masuk N’Golo Kante, Mason Mount dan Christian Pulisic pada minit ke-71 nyata menambah kekuatan Chelsea yang sebelum itu kelihatan seperti ketiadaan idea untuk menambah jumlah jaringan.
Ia terbukti apabila tiga jaringan berjaya dihasilkan dengan Timo Werner menyempurnakan sepakan penalti berselang lima minit selepas kemasukan tiga pemain tersebut. Sepakan penalti itu diberikan pengadil dari Turki, Ali Palabiyik susulan rembatan Pulisic yang terkena tangan Martynovich.
Jaringan ketiga pula hadir menerusi percubaan Hakim Ziyech yang bijak meledakkan rembatan dalam kawasan penalti selepas menerima umpanan daripada Werner yang sekali gus menewaskan Safonov pada minit ke-79.
Pulisic melengkapkan kemenangan bergaya di bumi Rusia itu selepas rembatan padu diledakannya berjaya melepasi celah kaki Safonov pada minit ke-90 untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-0 memihak Chelsea.
Ini juga bermakna Edouard Mendy telah mencatatkan ‘clean sheets’ buat kali ketiga berturut-turut yang mana Chelsea sebelum ini seri tanpa jaringan bertemu Sevilla dan Manchester United.
Lebih manis untuk diperkatakan, kemenangan itu disaksikan pemilik Chelsea, Roman Abramovich yang turut berada di Krasnodar Stadium.
Kredit featured image: Chris Lee – Chelsea FC/Chelsea FC via Getty Images