Barcelona mencatatkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan dalam UEFA Champions League musim ini selepas menewaskan Dynamo Kiev 2-1 di Nou Camp awal pagi tadi.
Lionel Messi menjaringkan gol penalti lima minit selepas perlawanan bermula sebelum Gerard Pique menanduk masuk gol kedua untuk mengesahkan kemenangan yang kurang meyakinkan. Sehingga kini, Messi masih belum menjaringkan gol dari permainan terbuka.
Gol saguhati Kiev dijaringkan 15 minit sebelum perlawanan tamat oleh Viktor Tsigankov.
Dynamo Kiev yang turun dalam perlawanan ini dengan hanya 13 pemain, enam daripadanya pemain skuad bawah-21, selepas enam pemain senior mereka diuji positif COVID-19 24 jam sebelum perlawanan.
Jumlah 13 pemain dalam skuad hari perlawanan ini merupakan jumlah minimum mengikut peraturan UEFA. Jika sesebuah pasukan tidak dapat menurunkan lebih 12 pemain pada hari perlawanan, perlawanan tersebut akan digantung.
Bagaimanapun di sebalik kekurangan pelawat, Barcelona pula yang bergelut. Walaupun mempunyai penguasaan bola yang banyak, anak buah Ronald Koeman gagal menterjemahkannya kepada gol.
Malah mereka terpaksa pula berhadapan dengan persembahan cemerlang pemain terbaik perlawanan, penjaga gol Ruslan Neshcheret. Ini merupakan penampilan pertama penjaga gol berusia 18 tahun itu untuk skuad senior dan Champions League.
Penyerang Antoine Griezmann meneruskan kemarau gol dan persembahan buruknya di depan gol apabila gagal menyudahkan satu peluang mudah untuk menambah dua gol pasukannya.
Persembahan Kiew wajar dipuji jika situasi semasa pasukan mereka diambil kira. Malah mereka sebenarnya ada beberapa kali menguji Marc-Andre ter Stegen.
Messi bermasalah?
Sehingga kini, Messi masih belum menjaringkan gol daripada permainan terbuka, walaupun sentiasa bermula dalam kesebelasan utama dalam semua perlawanan musim ini.
Dalam saingan La Liga, Messi hanya menjaringkan satu gol; penalti ketika menentang Villareal. Kekurangan gol daripada Messi ini menimbulkan persoalan mengenai prestasi semasa pemain yang telah menjaringkan 445 gol sepanjang karier 16 tahunnya di Barcelona.
Benar, Barcelona sedang melalui tempoh sukar dan tanggungjawab menjaringkan gol bukannya tugas Messi seorang. Tetapi kekurangan gol dari Messi boleh menjadi sebab mengapa Barcelona terperosok di tangga ke-12 La Liga selepas mengutip hanya lapan mata dari enam perlawanan.
Baca juga artikel lain yang berkaitan:
Statistik Menunjukkan Lionel Messi Sedang Mengubah Gaya Permainannya