RB Leipzig mendapat kelebihan jaringan di tempat lawan selepas berjaya menundukkan Tottenham Hotspur 1-0 pada pusingan pertama peringkat 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 yang berlangsung di Tottenham Hotspur Stadium, awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Jose Mourinho itu kelihatan begitu bergelut untuk mempamerkan corak permainan terbaik mereka selepas terpaksa melupakan khidmat pemain Korea Selatan, Son Heung-min yang mengalami keretakan pada tulang tangan kanannya. Ia memaksa pengendali kelahiran Portugal itu meletakkan Lucas Moura selaku penyerang sambil dibantu Dele Alli, Gedson Fernandes dan Steven Bergwin.
3 – José Mourinho has lost the first leg of a Champions League knockout tie at home for just the third time in his 17th such match, also doing so with Chelsea in 2005-06 (L16) and Real Madrid in 2010-11 (SF), both against Barcelona; his sides were eliminated both times. KO. pic.twitter.com/Cj87ISPMhm
— OptaJoe (@OptaJoe) February 19, 2020
Saingan di separuh masa pertama menyaksikan wakil daripada Jerman itu lebih mendominasi permainan serta turut banyak menjelmakan serangan berbahaya ke kubu Tottenham Hotspur yang dikawal Hugo Lloris. Sebanyak tiga serangan tepat ke pintu gol berjaya dilakukan RB Leipzig manakala tuan rumah hanya mampu dengan satu serangan.
Keadaan itu bagaimanapun masih tidak mampu untuk menjelmakan jaringan pendahuluan yang diharapkan kedua-dua pasukan untuk aksi berkesudahan tanpa jaringan pada 45 minit pertama.
32y 211d – RB Leipzig manager Julian Nagelsmann (32 years, 211 days) is set to become the youngest person to take charge of a Champions League knockout match, overtaking Domenico Tedesco (33y 161d) who oversaw FC Schalke’s last 16 tie with Manchester City last season. Boomer. pic.twitter.com/rzQNT1d7BR
— OptaJoe (@OptaJoe) February 19, 2020
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Tottenham memulakan permainan di babak kedua dengan baik selepas hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol RB Leipzig terus singgah di kaki Moura, namun kuisannya pada minit ke-48 itu berjaya diselamatkan penjaga gol, Peter Gulacsi.
Tidak mahu tenggelam dengan serangan yang dilancarkan tuan rumah, RB Leipzig kembali memberikan ancaman buat Tottenham dan ia nyata membuahkan hasil apabila Ben Davies melakukan kekasaran terhadap pemain tengah, Konrad Laimer dalam kawasan penalti memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti.
Timo Werner yang mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk membuka tirai jaringan walaupun Lloris sudah dapat membaca arah sepakan diambil penyerang berusia 23 tahun itu pada minit ke-58.
Timo Werner has scored RB Leipzig’s first-ever goal in the Champions League knockout stages.
Ice cold. pic.twitter.com/07gMejIEFV
— Squawka Football (@Squawka) February 19, 2020
Aksi selepas itu memperlihatkan ketangkasan yang dipamerkan penjaga gol kedua-dua pasukan dengan Gulacsi mudah menghalang percubaan jarak jauh diledakkan Giovani Lo Celso di minit ke-61 selepas beliau menerima umpanan daripada Bergwin. Hanya seminit kemudian, giliran Lloris pula menggagalkan usaha RB Leipzig yang menerima peluang terbaik menerusi Patrik Schick.
Bermula daripada serangan balas pantas dilakukan Angelino ke dalam kawasan penalti Tottenham yang kemudiannya Werner membuka ruang dengan ‘dummy’ kepada Schick, penyerang kelahiran Republik Czech itu melakukan percubaan tepat tetapi dinafikan Lloris.
Selepas itu, Gulacsi menjadi watak penting buat RB Leipzig selepas beliau bertindak cemerlang menepis keluar dua sepakan percuma cantik daripada Lo Celso dan Erik Lamela pada minit ke-73 dan 86.
❍ RB Leipzig’s first-ever UCLknockout game
❍ RB Leipzig’s first-ever UCL knockout clean sheet
❍ RB Leipzig’s first-ever UCL knockout winAnd Julian Nagelsmann is the youngest manager in Champions League history to win a knockout match. pic.twitter.com/9Axu8oJ6q9
— Squawka Football (@Squawka) February 19, 2020
Selain daripada ketangkasan Gulacsi, barisan pertahanan RB Leipzig yang begitu berdisiplin juga menjadi antara faktor yang menyukarkan barisan serangan Tottenham Hotspur untuk memecah masuk kawasan penalti skuad bimbingan Julian Nagelsmann itu.
Dalam pada itu, pertahanan tengah berbakat besar, Ethan Ampadu juga menjalankan tugas dengan baik ketika menggantikan Dayot Upamecano yang terpaksa diketepikan akibat penggantungan perlawanan.
Percubaan terakhir daripada Harry Winks pada masa kecederaan juga tidak memberikan masalah buat penjaga gol berusia 29 tahun kelahiran Hungary itu untuk mengekalkan kelebihan satu gol itu buat RB Leipzig hingga tamat permainan.
Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan kedua di Red Bull Arena pada 11 Mac nanti bagi mencari pasukan yang akan layak ke peringkat suku akhir saingan paling berprestij di Eropah itu.
Barisan pemain
Tottenham Hotspur – Hugo Lloris, Serge Aurier, Davinson Sanchez, Toby Alderweireld, Ben Davies, Harry Winks, Giovani Lo Celso, Gedson Fernandes (Tanguy Ndombele 64′), Dele Alli (Erik Lamela 64′), Steven Bergwin & Lucas Moura
RB Leipzig – Peter Gulacsi, Lukas Klostermann, Ethan Ampadu, Marcel Halstenberg, Nordi Mukiele, Konrad Laimer (Emil Forsberg 83′) , Marcel Sabitzer, Angelino, Christopher Nkunku (Amadou Haidara 74′), Timo Werner & Patrik Schick (Yussuf Poulsen 77′)
Pengadil perlawanan – Cuneyt Cakir (Turki)
Kredit foto: Sebastian Frej/MB Media/Getty Images