Dalam keterujaan meraikan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan ketika menantang Galatasaray, dua pemain Club Brugge dibuang padang selepas dilayangkan kad merah dalam saigan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Apabila Krepin Diatta melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti dan bola menggegar jaring gol pasukan tuan rumah pada masa kecederaan, mungkin semua beranggapan drama telah pun tamat.
Diatta kemudian berlari ke satu sudut padang dan kemudian meraikan gol itu dengan menanggalkan bajunya. Mungkin beliau terlupa bahawa dirinya telah pun menerima kad kuning sebelum itu. Akibatnya pengadil telah memberikan kad kuning kedua dan menghasilkan kad merah.
Sewaktu meraikan jaringan, seorang lagi pemain Brugge, Clinton Mata pula bertindak menyepak tiang bendera di penjuru padang. Pemain itu yang juga telah diberikan kad kuning sebelum itu turut diberikan kad kuning kedua.
⚽️ 92' @DiattaKrepin scores the equaliser for @ClubBrugge.
📕 93' @ClubBrugge's @DiattaKrepin is sent off.
📕 93' @ClubBrugge's Clinton Mata is sent off.
🤯 Crazy end to the game. pic.twitter.com/2sKRdZ6PAc
— SPORF (@Sporf) November 26, 2019
Kedua-dua pemain itu kini akan terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Real Madrid di tempat sendiri pada 12 Disember ini.
Adam Buyuk meletakkan Galatasaray di depan pada minit ke-11 menerusi sepakan voli. Gol itu adalah yang pertama mereka dalam lima perlawanan UCL.
Ini bukanlah kali pertama Club Brugge kehilangan dua pemain akibat kad merah dalam saingan UCL. Pada tahun 2003, mereka juga menghadapi situasi yang sama dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan itu seri 1-1 dengan Celta Vigo.
Perlawanan di antara dua pasukan ini tidak mengubah kedudukan mereka di dalam kumpulan dan kedua-duanya sudah pun gagal layak ke peringkat kalah mati.
Club Brugge yang kini dikedudukan ketiga dengan tiga mata cuma berkelebihan satu mata dengan kelab Turki berkenaan dan masing-masing berusaha untuk mengejar slot ke UEFA Europa League.