UCL 2019/20: 5 Perkara Yang Berlaku Di Peringkat Kumpulan

Semua 48 perlawanan di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) telah pun selesai. 16 pasukan telah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati di mana undian akan berlangsung pada Isnin ini di ibu pejabat UEFA yang terletak di Nyon, Switzerland.

Kempen pada musim ini menyaksikan 308 gol dijaringkan di peringkat kumpulan yang menjadikan ianya rekod tertinggi dalam sejarah pengajuran kejohanan utama Eropah itu, mengatasi rekod 306 gol pada musim 2017/18.

1. Lewandowski Berpeluang Tamatkan Dominasi Kasut Emas Messi-Ronaldo

Dalam 12 musim terakhir, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi menguasai perebutan anugerah kasut emas – termasuk tahun yang menyaksikan mereka berkongsi bersama Neymar.

Messi menang empat kali berturut-turut sebelum Ronaldo pula menang enam kali berturut-turut. Messi kemudian kembali memenanginya pada musim lepas.

Musim ini Robert Lewandowski sudah menjaringkan 10 gol UCL dalam lima perlawanan (beliau tidak diturunkan dalam perlawanan terakhir menentang Tottenham) dengan purata satu gol setiap 44 minit.

Ronado dan Messi pula setakat ini kedua-duanya baru menjaringkan dua gol sahaja.

2. Pemain Muda Mencipta Sensasi

Sebelum bermula UCL, Tiada siapa peduli dengan kehadiran penyerang RB Salzburg berusia 19 tahun ini. Tetapi Erling Braut Haaland secara tiba-tiba mencatat rekod selaku pemain remaja pertama yang menjaringkan gol dalam lima perlawanan awal.

Sekalipun Salzburg telah pun tersingkir di peringkat kumpulan, lapan gol yang dijaringkan Haaland membantu Salzburg menamatkan kempen UCL di tempat ketiga dan perjuangan pasukan itu akan bersambung di kejohanan Liga Europa selepas ini.

Bagaimanapun, Haaland masih berpeluang untuk terus beraksi di saingan UCL sekiranya beliau menyertai mana-mana 16 pasukan lain yang telah layak ke peringkat kalah mati. Dengan terdapat laporan yang mendedahkan beliau mempunyai klausa pelepasan bernilai £17 juta, sudah tentu banyak kelab gergasi yang berminat.

Seorang lagi pemain muda iaitu Ansu Fati turut mencatat rekod baharu dengan muncul selaku penjaring gol termuda dalam sejarah penganjuran UCL.

Beliau yang berusia 17 tahun 40 hari memecah rekod yang bertahan selama 22 tahun yang sebelum ini dipegang pemain Olympiacos, Peter Ofori-Quaye (17 tahun 195 hari).

3. Sambutan Jaringan Yang Membawa Padah

Club Brugge ada sebab untuk meraikan gol penyamaan pada minit-minit akhir ketika mereka berdepan Galatasaray dalam perlawanan kelima. Malangnya dua pemain mereka dibuang padang selepas itu.

Penjaring gol, Krepin Diatta menanggalkan bajunya dan Clinton Mata pula menyepak tiang bendera di sudut padang.

Kedua-dua mereka diberikan kad kuning kedua oleh pengadil dan menyebabkan mereka terlepas perlawanan menentang Real Madrid. Sekalipun mereka tewas 3-1, mereka tetap layak ke saingan Liga Europa selepas menduduki tempat ketiga kumpulan.

4. Evolusi Kyle Walker

Satu daripada kejadian yang menarik dalam kempen UCL musim sudah tentu melibatkan pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker yang terpaksa mengambil alih posisi penjaga gol sewaktu berkunjung ke Atalanta.

Ianya berlaku selepas penjaga gol utama, Ederson mengalami kecederaan dan digantikan Claudio Bravo. Ketika permainan berbaki sembilan minit, Bravo dilayangkan kad merah selepas mengasari Josip Ilicic.

Beliau turut menyelamatkan satu percubaan Atalanta menerusi sepakan percuma.

5. Penguasaan 5 Liga Utama

Musim lepas pasukan dari Belanda, Ajax mara sehingga separuh akhir dan kelab Portugal, Porto pula sehingga di suku akhir. Dua musim lepas pula, Shahktar Donetsk (Ukraine), Basel (Switzerland), Besiktas (Turki) dan Porto semuanya melangkah ke peringkat kalah mati.

Tetapi pada tahun ini buat kali pertama, semua 16 pasukan yang layak adalah dari liga Inggeris, Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN