Quantcast

BERITA

UCL 2018/19: Lionel Messi Jadi Watak Utama Pesta Jaringan Barcelona Atasi Lyon

Lionel Messi memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu Barcelona menang mudah 5-1 bertemu Olympique Lyonnais (Lyon) pada aksi kedua peringkat 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 di Nou Camp, awal pagi tadi.

Messi bukan sahaja berjaya menjaringkan dua gol, malah beliau turut mencipta dua bantuan jaringan bagi gol keempat dan kelima Barcelona.

Beraksi di laman sendiri sudah pasti menjadi pembakar semangat buat skuad bimbingan Ernesto Valverde yang terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Perancis tempoh hari.

Ketika permainan baru berusia 18 minit, Lionel Messi meletakkan nama selaku penjaring selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti menerusi satu sepakan ‘panenka’ yang mengecewakan Anthony Lopes di gawang Lyon.

Sepakan penalti tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan, Szymon Marciniak dari Poland selepas Jason Denayer didakwa mengasari Luis Suarez dalam kawasan penalti.

BARCELONA, SPAIN – MARCH 13: Lionel Messi of Barcelona celerbates scores his team’s first goal from a penalty with Jordi Alba and team mates during the UEFA Champions League Round of 16 Second Leg match between FC Barcelona and Olympique Lyonnais at Nou Camp on March 13, 2019 in Barcelona, Spain. (Photo by David Ramos/Getty Images)

Barcelona terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-31 selepas Phillipe Coutinho yang tidak dikawal pertahanan Lyon dengan mudah menolak mudah bola hasil hantaran Suarez untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Suasana kelam-kabut di hadapan pintu gol Barcelona memberikan peluang buat Lucas Tousart melakukan percubaan ‘first-timer’ untuk merapatkan kedudukan di minit ke-58.

Messi sekali lagi mencetak nama selaku penjaring berselang 20 minit kemudian setelah dengan tenang beliau mengatasi kawalan dua pemain pertahanan Lyon dan melepaskan percubaan yang pada mulanya berjaya ditepis penjaga gol gantian, Mathieu Gorgelin.

Namun, tepisan yang dilakukan Gorgelin itu tidak mampu untuk menghalang bola bergolek untuk gol ketiga buat The Blaugrana.

Messi terus menjelmakan sumbangan berkesan buat pasukan setelah turut mencipta bantuan kepada dua jaringan yang masing-masing dihasilkan Gerard Pique (minit ke-81) dan Ousmane Dembele berselang lima minit kemudian.

Dengan kejayaan ini, Barcelona menjadi satu-satunya wakil Sepanyol yang layak ke suku akhir selepas Real Madrid dan Atletico Madrid ditunjukkan jalan keluar oleh Ajax dan Juventus.

 

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!