Skrip yang sama seperti dalam saingan kumpulan G berlaku apabila dua pasukan tangga teratas, Juventus dan Manchester United tumpas kepada lawan masing-masing awal pagi tadi.
Secara kebetulan, kedua-dua pasukan berkunjung ke gelanggang lawan dan tewas 2-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan H ini.
Young Boys (2) Juventus (1)
Kemenangan yang dicatatkan wakil dari Switzerland ini merupakan kemenangan sulung buat mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Penyerang berusia 34 tahun, Guillaume Hoarau menjadi duri dalam daging buat Juventus setelah beliau berjaya menghasilkan dua jaringan pada perlawanan yang berlangsung di Stade de Suisse Wankdorf itu.
Hoarau membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi sepakan penalti setelah Alex Sandro melakukan kekasaran terhadap Nicolas Ngamaleu dalam kawasan penalti.
Serangan yang dijelmakan Juventus gagal menemui sentuhan jaringan walaupun Massimiliano Allegri menyandarkan harapan buat Cristiano Ronaldo dan Mario Mandzukic.
Hoarau sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-68 menerusi satu serangan balas pantas.
Ngamaleu melorongkan bola buat Hoarau yang bergerak solo dan seterusnya meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti Juventus bagi sekali lagi membolosi Wojciech Szczesny.
Jaringan Paulo Dybala hasil umpanan Cristiano Ronaldo pada minit ke-80 belum cukup untuk menghalang tuan rumah dari meraih kemenangan sulung dalam saingan berprestij di Eropah ini.
Valencia (2) Manchester United (1)
Valencia yang sudah tersingkir daripada persaingan ke peringkat kalah mati mendapat ‘saguhati’ selepas berjaya melayakkan diri ke aksi Liga Europa.
Berpunca daripada gerakan dari sebelah kiri pintu gol Manchester United, Carlos Soler meledakkan rembatan leret yang gagal dihalang penjaga gol, Sergio Romero pada minit ke-17.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu, namun ia masih tidak berupaya mengubah kedudukan sehingga tamat babak pertama.
Ketika aksi bersambung baru berusia dua minit, tuan rumah menggandakan kedudukan menerusi jaringan sendiri yang dilakukan Phil Jones.
Soler melakukan lorongan cantik yang mencari Michy Batshuayi, bagaimanapun Jones yang dalam usaha mencabar pemain antarabangsa Belgium itu tertolak bola masuk ke gawang sendiri.
Tandukan Marcus Rashford pada minit ke-87 hasil hantaran lintang daripada Ashley Young menghadiahkan jaringan saguhati buat skuad bimbingan Jose Mourinho untuk perlawanan tamat memihak Valencia dengan keputusan 2-1.