Lionel Messi tidak menunggu lama untuk terus membuktikan kejaguhannya selepas meledak hatrik pada perlawanan sulung kumpulan B saingan Liga Juara-Juara Eropah 2018/19.
Mangsa pertama buat Messi dan Barcelona adalah wakil dari Belanda, PSV Eindhoven apabila kemenangan 4-0 berjaya dicatatkan anak buah Ernesto Valverde itu.
Pasukan pelawat memberikan saingan pada awal permainan dengan melancarkan beberapa gerakan yang mampu untuk memberikan bahaya buat kubu Barcelona.
Barcelona yang tampil dengan begitu bertenaga, memperagakan aksi menarik dan tersusun ketika mencipta serangan terutamanya menerusi Lionel Messi, Luis Suarez dan Phillipe Coutinho.
Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi sepakan percuma cantik yang terus menerjah gawang PSV yang dikawal Jeroen Zoet.
Jaringan menarik dari Messi tersebut kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Barcelona terus bernafsu bagi memburu jaringan dalam usaha melebarkan kedudukan.
Asakan bertali-arus yang dijelmakan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-74 menerusi Ousmane Dembele.
Dembele melakukan gerakan solo dengan melepasi kawalan dua orang pemain PSV dan kemudiannya meledakkan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal dihalang Zoet.
Belum pun sempat anak buah Mark Van Bommel memperkemaskan aksi, Messi terus menghukum jentera pertahanan pasukan yang kini sedang menghuni tangga teratas Liga Eredivisie itu dengan jaringan ketiga perlawanan.
Berpunca dari hantaran kemas daripada Ivan Rakitic, Messi yang meluru pantas tidak melepaskan peluang bagi menyudahkan peluang yang dimilikinya.
Pertahanan Barcelona, Samuel Umtiti dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-79, namun ia seolah-olah tidak memberikan sebarang masalah buat The Blaugrana.
Ia dibuktikan apabila Messi melengkapkan hatrik pada minit ke-87 setelah beliau melepaskan rembatan hasil lorongan berkualiti tinggi yang dilakukan Luis Suarez.
Jaringan hatrik yang dihasilkan Messi adalah yang ke-8 buat beliau dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.