Terjemahan Teks Ucapan Terakhir Francesco Totti Sebagai Pemain AS Roma

Dalam dunia bola sepak moden yang menyaksikan kelab bola sepak hanyalah satu ‘tempat kerja’ buat pemain sekarang, kisah Francesco Totti di AS Roma adalah sesuatu yang sangat jarang-jarang berlaku.

Apabila kisah hubungan cinta Totti dengan AS Roma berakhir semalam, kami mengambil masa sejenak untuk melihat aksinya. Mendengar ucapannya. Dan mengenang legasi 25 tahunnya.

Bagi anda yang meminati Totti seperti kami, anda pasti mahu membaca terjemahan ucapan terakhirnya semalam. Berikut adalah terjemahan ucapannya semalam.


Eh, sshh…Anda fikir senang?

Baik. Masanya sudah tiba. Anda boleh dengar saya tak? Nampak seperti konsert pula.

Dengan perasaan sedih, masa ini sudah tiba. Walaupun saya berharap ia takkan tiba.

Kebelakangan ini saya banyak membaca benda-benda tentang saya – benda-benda yang baik dan cantik. Saya menangis, setiap hari, seperti orang gila. Kerana 25 tahun tak mungkin dilupakan, dengan anda di belakang saya. Menyokong saya pada masa baik dan buruk.

Untuk itu, saya mahu berterima kasih kepada anda semua di sini. Tak mudah bagi saya untuk ucapkannya pada masa emosional ini. Saya tak banyak bercakap. Tapi saya banyak berfikir.

Dan kebelakangan ini, saya banyak bersembang dengan isteri saya tentang memori saya bersama jersi ini. Jersi yang unik.

Saya menulis surat untuk anda semua juga. Saya harap saya boleh membacanya. Jika tidak, anak perempuan saya Chanel akan membaca bagi pihak saya. Kerana dia sukakan ucapan saya.

Saya perlu bernafas dahulu. Maaf. Susah betul rasanya (Totti mula sebak tapi menutupnya dengan ketawa kecil).

Saya akan pergi sebelum terlambat. Saya tahu anda semua tengah lapar, sekarang masa makan malam. Walaupun saya akan kekal di sini untuk 25 tahun lagi.

Terima kasih Rom. Terima kasih ibu dan ayah, abang, keluarga dan kawan-kawan saya. Terima kasih kepada isteri dan anak-anak saya. Saya mahu mulakannya dari belakang, dari persaraan, kerana saya tak tahu jika saya boleh menghabiskan ucapan ini.

Mustahil untuk saya cerita pengalaman 28 tahun dalam beberapa ayat. Saya mahu ceritakannya melalui lagu, tapi anda tahu saya tak pandai buat lagu. Jadi saya cuba ‘menulisnya’ dengan kaki, selama 28 tahun, kerana ianya lebih mudah bagi saya.

Anda tahu mainan kegemaran saya semasa kecil? Bola. Dan ianya masih menjadi mainan kegemaran saya. Tapi kita akan jadi tua. Orang cakap bila dah tua, kita kena berhenti bermain.

Pada 17 Jun 2001 (hari AS Roma menang Scudetto), kita berdoa supaya masa berlalu dengan pantas. Kita tak sabar nak mendengar pengadil meniupkan wisel 3 kali. Bulu roma saya masih meremang mengenang saat itu.

Kredit: Claudio Villa/Allsport

Hari ini masa tiba di pintu saya dan berkata, “Kita kena menjadi dewasa. Mulai esok, anda akan jadi tua. Tanggalkan seluar dan kasut kerana hari ini anda sudah dewasa. Anda takkan boleh hidu bau rumput lagi. Rasa cahaya matahari di mata bila anda berlari ke arah gol. Menikmati adrenalin selepas menjaringkan gol.”

Kebelakangan ini banyak kali saya tanya diri saya soalan ini, “Kenapa ‘mereka’ kejutkan saya dari mimpi ini?”

Anda ingat tak saat anda bermimpi sesuatu yang indah semasa kecil? Kemudian ibu anda kejutkan anda kerana sudah tiba masa untuk sekolah? Tapi anda mahu terus tidur dan bermimpi? Anda cuba sambung mimpi anda itu semula, tetapi gagal?

Kali ini ia bukan mimpi. Ia kehidupan sebenar.

Surat ini saya tujukan untuk kanak-kanak yang bersorak untuk saya, untuk bapa yang dahulunya pernah menjadi kanak-kanak, dan untuk anda yang bersorak, “Totti gol!” Saya mahu karier saya menjadi cerita yang anda akan beritahu kepada orang lain.

Sekarang ianya benar-benar akan berakhir. Saya akan tanggalkan jersi ini buat kali terakhir dan lipat elok-elok. Walaupun saya tak bersedia untuk berbuat begitu. Dan mungkin saya tak boleh lakukannya.

Maaf jika saya banyak membisu tentang masa depan dan pendapat saya. Tetapi ketahuilah keputusan ini bukannya mudah.

Sekarang saya takut. Ia bukannya ketakutan sama yang saya dapat bila saya perlu menjaringkan penalti. Saya takut kerana saya tak tahu apa masa depan saya.

Biarkan saya takut. Kali ini saya perlukan anda dan kasih sayang anda.

Kepada anda yang bersorak dengan kuat, dengan adanya anda di sisi saya, saya boleh membuka halaman baru dalam hidup. Memulakan cabaran baru.

Sekarang masa untuk saya berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan, staf kelab, pengurus, penyokong, La Curva Sud. Satu simbol buat kita – warga Roman – dan penyokong Roma.

(Photo by Paolo Bruno/Getty Images)

Menjadi warga Roman dan penyokong Roma adalah satu keistimewaan. Menjadi kapten pasukan ini satu penghormatan. Anda semua dan anda akan sentiasa berada dalam hidup saya. Saya tak boleh ceriakan anda dengan kaki saya lagi. Tetapi hati saya sentiasa bersama dengan anda.

Sekarang saya nak turun tangga ini. Saya akan pergi ke bilik persalinan yang menemui saya semasa kecil. Dan saya akan pulang sebagai orang dewasa.

Saya berbangga dan gembira kerana dapat memberikan anda cinta selama 28 tahun. Saya sayangkan anda.

TAMAT


Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN