Kelab Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) bakal menjadikan Eropah sebagai destinasi untuk persiapan musim baharu mereka.
Destinasi pilihan adalah Turkiye dengan KDA dijangka akan menentang beberapa pasukan dalam siri perlawanan persahabatan di sana.
Menurut pihak KDA sendiri, keputusan itu adalah sebagai salah satu persediaan mereka menghadapi musim baharu dengan tujuan utama mendapatkan keserasian antara pemain.
“Pengurusan kelab dan barisan kejurulatihan sedang merancang rapi dalam tempoh 50 hari ini dengan mengadakan perlawanan persahabatan dan salah satu pertimbangan KDA FC adalah untuk mengadakan jelajah pra-musim 2023 di Turkiye,” jelas KDA.
Setakat ini, belum lagi ada maklumat terperinci mengenai jelajah pra-musim ke Turkiye itu. Ianya mungkin akan didedahkan kepada penyokong kemudian.
Namun begitu, persiapan KDA bukan terletak kepada itu sahaja. Sebaliknya, mereka juga akan menyertai piala persahabatan pada bulan Februari.
Unity Cup yang sudah disertai KDA sejak beberapa musim lalu bersama-sama dengan Perak akan kembali menemui peminat pada Februari kelak.
Penganjuran Unity Cup sebelum ini diadakan sebanyak dua kali melibatkan kedua-dua pasukan dengan edisi ketiga akan muncul pada tahun ini.
KDA melakukan pelbagai rombakan pada musim ini dengan skuad kendalian Nafuzi Zain disertai dengan pelbagai muka baharu terutamanya di bahagian pemain import.
Manny Ott, Amirbek Juraboev dan Manuel Hidalgo antara wajah-wajah baru yang akan memastikan KDA memperoleh kejayaan musim ini.