Pasukan bola sepak orang kudung Malaysia mendapat suntikan moral menjelang Kejohanan Jemputan 6 Negara yang dijadualkan berlangsung pada April ini selepas menerima sumbangan bernilai RM 20,000 daripada Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.
Pemberian sumbangan itu bersempena jemputan khas Tunku Ismail dan Johor Darul Ta’zim (JDT) buat skuad yang dikenali sebagai Harimau Kudung tersebut ke Padang Seri Gelam, Johor Bahru susulan satu ciapan dari wakil #ProjekTongkat, Hanif Miswan.
Kunjungan barisan pemain serta wakil Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) pada petang semalam adalah merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) juara Liga Super enam musim berturut-turut itu.
Tunku Ismail bersama-sama Hariss Harun, Farizal Marlias dan Aidil Zafuan Abd Radzak turut tidak melepaskan peluang untuk beraksi menentang para pemain berjiwa besar itu dengan menggunakan tongkat.
Pelbagai ragam dapat disaksikan terutamanya oleh tiga tonggak JDT tersebut ketika beraksi. Bayangkanlah mahu berjalan sambil menggunakan tongkat pun kita berasa amat janggal, inikan pula terpaksa bermain bola sepak dengan menggunakan alat bantuan tersebut.
Di samping dapat beraksi di persekitaran bertaraf dunia bersama Tunku Ismail dan tonggak utama JDT, barisan pemain Harimau Kudung bimbingan ketua jurulatih, Sunny Shalesh itu turut dibawa meninjau fasiliti-fasiliti yang dimiliki kelab tersebut.
DYAM Pemangku Raja dalam pada itu turut mengakui semangat juang tinggi serta kegigihan dipamerkan barisan pemain bola sepak orang kudung Malaysia seharusnya menjadi ikutan buat para pemain JDT.
Bagi anda yang berhajat untuk memberikan sumbangan bagi menjayakan #ProjekTongkat, berikut adalah butiran dan segala keterangan lanjut boleh terus ke Facebook rasmi Projek Tongkat.
* Akaun: Kelab Bolasepak Pan-Disability
* CIMB: 800 204 6126
* Rujukan: MAFA
Kredit foto: Aremilworks