Siapa sangka, dua individu terhebat dalam dunia bola sepak Asia Tenggara iaitu Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail telah mengadakan pertemuan bersama ‘orang kuat’ Indonesia iaitu Erick Thohir.
Menerusi perkongsian Johor Southern Tigers (JST) sebentar tadi, Tunku Ismail telah pun terima mengadap Erick yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk mengadakan satu perbincangan.
Selain itu, baginda turut terima mengadap daripada Glenn Sugita yang juga merupakan pemilik kelab Persib Bandung serta Peter Lim sebagai orang nombor 1 Valencia CF di Singapura.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Erick Thohir, Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia; Glenn Sugita, pemilik kelab Persib Bandung dan Peter Lim, pemilik kelab Valencia CF di Singapura pada 12 November 2024.
“Pertemuan tertumpu kepada senario bola sepak serantau, terutamanya perkembangan bola sepak, pengurusan kelab bola sepak dan langkah-langkah untuk meningkatkan tahap sukan bola sepak di rantau Asia, khasnya di negara-negara ASEAN.
“DYAM Tunku Ismail turut memuji Erick Thohir kerana telah memartabatkan pasukan kebangsaan Indonesia dan Baginda yakin bahawa ada masa depan yang menarik untuk bola sepak ASEAN. Luaskan Kuasamu Johor,” jelas laman tersebut.
Pertemuan kedua individu membabitkan Tunku Ismail bersama Erick Thohir antara yang dinantikan oleh para peminat ekoran persamaan mereka daripada sumbangan buat negara masing-masing.
Terarah kepada Tunku Ismail, rata-rata peminat di Malaysia atau dunia mengetahui gerak kerja baginda sejak bertahun-tahun lalu dalam membangunkan kemajuan bola sepak negara menerusi projek Johor Darul Ta’zim (JDT).
Transformasi dilakukan baginda bukan sahaja terarah kepada kekuatan pasukan di atas padang, malahan menjadi titik utama selaku contoh terbaik daripada segi pembangunan serta kemajuan.
Lihat sahaja jenama JDT kini, bukan hanya meniti di bibir peminat tempatan malahan menjadi igauan ngeri buat lawan di saingan antarabangsa.
Begitu juga dengan apa dilakukan kini oleh Erick yang kembali membangunkan bola sepak di Indonesia menjadi berkembang begitu pesat untuk mencabar negara-negara hebat di luar sana.
Satu persamaan unik Tunku Ismail dan Erick sudah tentu kepada aura serta pengaruh dimiliki masing-masing untuk mendapatkan pemain warisan dari luar negara.
Kehadiran pemain-pemain warisan bersama JDT dan Indonesia terdahulu sudah tidak boleh dipertikaikan kerana kualiti serta sumbangan mereka meningkatkan lagi taraf masing-masing.
Pertemuan kedua individu tersebut sudah tentu menjanjikan sebuah perubahan besar pada masa hadapan menerusi kerjasama yang mungkin akan terjalin demi menaikkan lagi mutu bola sepak di Asia Tenggara.
Jika Indonesia kini berbangga akan prestasi skuad kebangsaan mereka di persada antarabangsa, begitu juga apa sedang dirasai oleh JDT bawah sentuhan Tunku Ismail.
Pada akhirnya, masing-masing akan berbangga suatu hari nanti melihat hasil kerja bersama memacu kepada kemajuan bola sepak Asia Tenggara yang sebelum ini hanya dipandang sebelah mata sahaja.