Quantcast

BERITA

Tunggu Tahun Depan Luqman Hakim Dan Mukhairi Ajmal, Kata Tan Cheng Hoe

Dua pemain muda yang kian menempa nama di persada bola sepak tanah air iaitu penyerang, Luqman Hakim Shamsudin dan pemain tengah, Mukhairi Ajmal bakal diberikan peluang untuk bersama skuad negara bermula pada tahun hadapan.

Itu adalah bayangan yang telah diberikan oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe ketika ditemui media, baru-baru ini. Keterujaan para penyokong yang mahu melihat kedua-dua pemain itu menyarung jersi skuad senior kebangsaan bakal berakhir.

Begitupun, Tan Cheng Hoe menjelaskan akan terlebih dahulu memantau prestasi dan persembahan kedua-duanya dalam kelayakan Kejohanan AFC B-19, pada November depan.

“Memang betul pemain skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal menonjol, tetapi kita masih memantau dan mereka mempunyai kejohanan penting [kelayakan Kejohanan AFC B-19] pada November ini.

“Mungkin pada tahun depan baru kita akan beri peluang kepada mereka,” ujar pengendali berusia 51 tahun itu yang dipetik berkata kepada Bernama tempohari sambil menekan akan cuba memberi peluang buat pemain-pemain muda berbakat negara.

Luqman Hakim baru sahaja menandatangani kontrak profesional bersama kelab dari Belgium, KV Kortrijk dan akan mula menyertai kelab tersebut setelah genap usianya 18 tahun, tahun hadapan.

Sementara Mukhairi Ajmal telah memukau pemerhati bola sepak tempatan dalam aksi suku akhir Piala Malaysia 2019 tempohari di mana pemain yang baru berusia 17 tahun itu tidak kekok memimpin jentera serangan PKNP FC mengasak Kedah.

Walaubagaimanapun, Tan Cheng Hoe pasti tidak terlalu mahu merubah struktur pasukan yang telah dibentuknya sejak beberapa tahun ini dengan beberapa pemain berpengalaman masih dipilih.

Bercakap kepada media tempohari, jurulatih kelahiran Kedah itu menyatakan betapa pemain berpengalaman ini penting di dalam struktur pasukannya untuk memberikan pengalaman dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda yang bersama pasukan.

Sementara itu, menjelang aksi pemanas badan menetang Sri Lanka pada Sabtu, Harimau Malaya dijangka akan turun tanpa beberapa tonggak yang mengalami masalah kecederaan ketika melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan antaranya Nor Azam Azih, Danial Amier Norshisham, J. Partiban, Shahrul Saad dan Halim Saari.

Begitupun, kecederaan lima pemain tersebut tidak terlalu serius dan jika sempat cergas, mereka masih berpeluang untuk turun beraksi seterusnya terpilih untuk dibawa ke Hanoi bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam.

Kredit Featured Image: FAM