Kemenangan 2-1 Chelsea ke atas Manchester City pada aksi di Stamford Bridge sebentar tadi nyata disambut gembira seluruh penyokong Liverpool selepas The Reds secara rasminya bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20.
Ia bermakna penantian 30 tahun Liverpool untuk muncul juara liga domestik paling utama itu sudah pun berakhir manakala Jordan Henderson menjadi kapten Liverpool pertama yang bakal menjulang trofi EPL.
WE’RE PREMIER LEAGUE CHAMPIONS!! ? pic.twitter.com/qX7Duxoslm
— Liverpool FC (at ?) (@LFC) June 25, 2020
Fokus kepada perlawanan Chelsea berdepan Manchester City
The Cityzens yang cukup terkenal dengan corak permainan kemas berjaya mendominasi permainan sejak dari wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Stuart Atwell.
Anak buah Pep Guardiola hampir berada di hadapan pada minit ke-18 apabila hantaran cantik hasil sepakan percuma Riyad Mahrez ditanduk dengan baik Fernandinho tetapi penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga tangkas menafikan percubaan tersebut.
Melihat pasukan pelawat semakin ghairah mencipta gerakan, Chelsea turut berusaha untuk kembali menjelmakan corak permainan kebiasaan mereka.
Usaha tersebut hampir membuahkan hasil pada minit ke-32 setelah gerakan baik dalam kawasan penalti Manchester City memberikan peluang buat Ross Barkley untuk melakukan percubaan.
Rembatan pemain berusia 26 tahun itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan Fernandinho bagi menyelamatkan keadaan untuk memberikan sepakan penjuru buat Chelsea. Sepakan itu juga benar-benar mengancam Manchester City setelah tandukan Andreas Christensen pula berjaya ditepis keluar penjaga gol, Ederson Moraes.
Christian Pulisic membuktikan kehadirannya mampu untuk menambah kekuatan Chelsea selepas beliau berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-36 yang berpunca daripada salah faham antara Benjamin Mendy dan Ilkay Gundogan.
Beliau yang meluru pantas secara solo ke pintu gol Manchester City, tidak berdepan masalah besar untuk melakukan percubaan ‘placing’ sekaligus berjaya menewaskan Ederson.
Aksi lebih menarik ditampilkan pada separuh masa kedua apabila Kevin De Bruyne kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma cantik diledakannya pada minit ke-55. Jaringan yang pada ketika itu mungkin sedikit menggusarkan penyokong Liverpool.
Hanya berselang dua minit kemudian, Raheem Sterling hampir menjadikan kedudukan 2-1 buat skuad pelawat selepas percubaannya sekadar singgah di tiang gol.
Kepantasan Pulisic nyata menjadi ancaman terbesar buat pertahanan Manchester City dan pada minit ke-71, beliau mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan kedua.
Beliau yang sudah pun berjaya memperdayakan Ederson jelas hampa berikutan tolakannya ketika pintu gol sudah ternganga berjaya dihalang di garisan gol oleh Kyle Walker.
Melihat hanya kemenangan dapat mendekatkan mereka dengan slot Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, Chelsea terus memberikan tekanan kepada jentera pertahanan lawan dan situasi pada minit ke-75 nyata menggembirakan kem The Blues.
Asakan hebat yang diberikan Pulisic dan Tammy Abraham telah memaksa Fernandinho melakukan kesilapan dengan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan menggunakan tangannya.
Keadaan tersebut memaksa khidmat Video Assistant Referee (VAR) digunakan dan sepakan penalti dihadiahkan buat Chelsea dengan Fernandinho turut dilayangkan kad merah.
Words we’ve waited 109 days to say…
— Chelsea FC (at ?) (@ChelseaFC) June 25, 2020
THREE POINTS AT THE BRIDGE! ??#CHEMCI pic.twitter.com/B8mmvN0Bs3
Willian yang mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk sekali lagi meletakkan Chelsea berada di hadapan pada minit ke-78.
Kemenangan itu menyaksikan Chelsea terus berada di tangga keempat untuk meraih 54 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang Leicester City.