Ketegangan antara dua buah kelompok penyokong melibatkan negara Malaysia dan Indonesia kembali menggegar arena bola sepak Asia Tenggara.
Pergeseran ini tidak berlaku secara berdepan antara kedua-dua penyokong ini, tetapi hanya berlaku di alam siber sahaja.
Walaupun begitu, perkara itu jelas tidak disenangi oleh Perdana Menteri Malaysia – Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut laman Berita Harian, Tun Mahathir tidak mahu lagi isu melibatkan penyokong Malaysia dan Indonesia berterusan selepas ini.
Tun Mahathir berkata penyokong Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan rentak penyokong Indonesia yang melakukan provokasi melampau terhadap pemain Malaysia dan juga para penyokong.
“Cara mereka lain, itu cara mereka dan cara kita lain.”
Tun Mahathir juga meminta agar penyokong Malaysia bersikap toleransi dalam berdepan dengan penyokong Indonesia yang gemar melakukan provokasi.
“Kita kena bersikap toleransi sikitlah.”
“Kalau kita tidak bersikap toleransi dan orang buat buat kita maka kita tidak boleh marah mereka.”
“Lebih baik, lupakan saja.”
Kontroversi melibatkan Indonesia dan juga Malaysia bermula pada saingan Piala AFF B-19 tempoh hari yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia di separuh akhir.
Ianya disusuli dengan kesilapan pemain Malaysia B-16, Amirul Ashrafiq Hanifah yang tersiarkan bendera Poland dan bukannya bendera Indonesia di Instagram Story beliau.
Malaysia dan Amirul menjadi subjek kepada provokasi penyokong Indonesia dalam perlawanan menentang Thailand tempoh hari apabila mereka melaungkan sorakan “Malaysia itu anjing” dan “Amirul itu anjing.”