Negara mencipta sejarah tersendiri apabila Yang Amat Berhormat Tun Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) yang lalu.
Kemenangan PH dalam amalan demokrasi negara ini turut menyaksikan Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.
Ini adalah kali kedua Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri setelah menjawat jawatan yang sama pada 1981 sehingga 2003.
Apakah yang kita tahu mengenai Tun M dan bola sepak? Berikut adalah 5 perkara mengenai Perdana Menteri dan bola sepak.
Tun M dan SuperMokh
Pada 29 September 1988, satu perlawanan persahabatan di antara anggota kabinet dengan kelab Barisan Nasional (Backbenchers BN) telah diadakan di Kuala Lumpur.
Perlawanan tersebut diadakan sempena perlawanan terakhir bersama legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.
Tun Mahathir dan juga bekas Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak adalah antara yang turut beraksi dalam perlawanan tersebut.
Dato Seri Najib adalah Menteri Belia dan Sukan pada waktu itu dan mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan tersebut.
Melalui gambar-gambar yang diperolehi dari perlawanan tersebut, kita boleh menyaksikan bagaimana gembiranya Tun Mahathir ketika turun ke padang.
Tidak berapa lama selepas itu Mokhtar Dahari menyedari menghidap penyakit berkaitan motor neurone.
Setelah berjuang selama hampir tiga tahun, Mokhtar Dahari akhirnya meninggalkan kita pada 11 Julai 1991 di Pusat Perubatan Subang Jaya.
Walau apapun, kita tahu bahawa bekas dan Perdana Menteri kita pada hari ini mempunyai jiwa bola sepak.
Tun M dan FA Kedah
Perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 menemukan negeri kelahiran Tun Mahathir dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sebagai anak jati Kedah, Tun M tidak teragak-agak untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kedah pada waktu itu.
Kenyataan di atas adalah berdasarkan video berdurasi 3:36 minit yang dimuat naik ke dalam sebuah laman Facebook. Mukhriz Mahathir FC pada tahun lalu.
Di dalam video tersebut Tun Mahathir berkata:
“Saya percaya pemain kita akan bersemangat penuh kerana ini satu perlawanan amat penting bagi Kedah. Saya percaya mereka berupaya memenangi perlawanan ini.
“Selamat maju jaya pasukan Kedah, pulun Kedah pulun. Jangan lupa orang Johor tak tau apa tu pulun… awak semua tau. Kita pulun la. Pulun siapa yang menang. Kalau menang tu saya terima kasih jelah.”
Tun Mahathir turut berkongsi pengalaman beliau mengenai bola sepak sebelum zaman perang dan juga mengenai nostalgia bola sepak di Kedah.
“Masa tu tak ada pagar tak ada apa, kita semua berdiri tepi line ja. Gol pun tak ada net, kalau tendang masuk terlepas ke belakanglah.
“Saya dalam sekolah tak main bola sepak pasal saya tak pandai. Jadi saya berpendapat bahawa bola sepak ini satu perlawanan yang begitu popular sekali di dunia dan kita pun tak kurang dari orang lainlah,” katanya.
Anda boleh menyaksikan video penuh mengenai Tun Mahathir dan bola sepak itu di pautan di bawah.
Malang sekali Kedah tewas perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 kepada JDT pada musim lalu. Mampukah Kedah bangkit untuk menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia buat Tun Mahathir pada musim ini?
Tun M sokong Cardiff City?
Anda juga mempunyai sebab yang kukuh untuk memberi sokongan kepada kelab yang bakal kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim hadapan, Cardiff City.
Walaupun tidak jelas sama ada Tun Mahathir pernah menzahirkan meminati kelab Inggeris, Perdana Menteri Malaysia ini pernah hadir memberikan sokongan dalam perlawanan membabitkan Cardiff City menentang Fulham.
Hal ini adalah kerana pemilik Cardiff City, Vincent Tan adalah sahabat baik kepada Tun Mahathir.
Pada Mac 2014 Tun Mahathir ke Cardiff untuk menonton perlawanan membabitkan pasukan tersebut.
“Saya hadir ke sini kerana mahu melihat Cardiff menang perlawanan ini. Ia adalah perlawanan yang penting dan saya harap Cardiff mampu melonjak ke kelompok atas liga.”
“Bola sepak adalah sukan utama di Malaysia. Ramai orang bermain bola sepak walaupun pencapaian kita secara keseluruhan tidaklah baik,” ujar Tun Mahathir ketika kunjungan itu.
Tan Sri Vincent Tan yang gembira dengan kunjungan Tun Mahathir menganggap ianya sebagai pembawa nasib baik kepada kelab bola sepak yang berpengkalan di Wales itu.
Jangan malas
Dalam ucapan terakhir Datuk Musa Hitam ketika Perhimpunan Agung UMNO sebagai Timbalan Presiden, beliau pernah berkata Datuk Seri Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang tidak gemarkan bola sepak.
“Kalau diizinkan (selepas pengunduran sebagai Timbalan Presiden), saya hendak pimpin pasukan yang dibawah. Cuma saya ingin sarankan satu peraturan.”
“Saya tahu Datuk Seri Dr. Mahathir tidak suka permainan bola sepak kerana ia melibatkan perebutan bola. Kerana itu saya sarankan kita bagi satu bola khas kepada Dr. Mahathir dan pemain-pemain lain hanya diberi satu bola,” ujar Musa sambil berseloroh.
Benarkah Tun Mahathir tidak suka akan bola sepak?
Dalam satu dialog pada Januari lalu, Tun Mahathir turut pernah membidas sikap rakyat Malaysia yang gemarkan cuti, walaupun kerana memenangi perlawanan bola sepak.
“Kita suka kerja kurang tetapi gaji lebih. Kalau lihat sekarang ini, cuti di Malaysia cukup banyak. Kadangkala ambil cuti pada Jumaat dan Isnin untuk cuti selama 4 hari.
“Saya tidak bersetuju. Walaupun hari Sabtu kena kerja. Menang bola sepak pun mahu cuti,” katanya di sesi dialog tersebut.
Sebenarnya bukan itu mesej yang Tun Mahathir ingin sampaikan. Sebaliknya, Tun Mahathir mahukan rakyat Malaysia mengamalkan budaya kerja yang rajin untuk mencapai kejayaan.
Misalnya pada Sukan SEA 1989 di mana negara kita menjadi tuan rumah, skuad negara berjaya memenangi pingat emas dalam temasya tersebut setelah 10 tahun ketandusan kilauan emas.
Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu lantas memberikan cuti umum kepada semua untuk meraikan kejayaan tersebut.
Bagaimanapun, Tun Mahathir pantas mengarahkan para atlet untuk melakukan persiapan untuk temasya seterusnya di Manila pada hari berikutnya.
Kabinet Tun M Guna Formasi 3-3-2-2
Baiklah. Ini mungkin tidak mengena dengan bola sepak. Tetapi kebetulan atau tidak, rumus dan formasi kabinet baharu yang bakal diwujudkan Tun Mahathir pada kali ini mirip taktikal pengurus Manchester City, Pep Guardiola.
Di dalam bola sepak, formula formasi 3-3-2-2 ini kelihatan seperti magic square ataupun sistem bek bertiga yang tidak memiliki bek sayap.
Jika dikaji secara lebih mendalam, 3-3-2-2 ini akan membentuk formasi 3-3-4, yang mirip corak serangan ultra offensive Pep Guardiola.
Kebetulan? Mari kita lihat dari segi aspek politik. Formula yang dimaksudkan merujuk kepada pembahagian portfolio dalam kalangan empat parti komponen Pakatan Harapan.
DAP dan PKR masing-masing bakal mendapat tiga portfolio masing-masing, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing akan diberi dua portfolio.
Setiap komponen mempunyai tanggungjawab berat untuk melaksanakan tugasan masing-masing. Walaupun berat, ia mampu menghasilkan keputusan yang cemerlang.
Di dalam konteks politik, semua ahli kena bergerak bersama. Akan ada tekanan yang kuat untuk setiap kementerian melaksanakan tugas (mempertahankan zonal) masing masing, dan ia perlu efektif!
Bagaimana anda mahu menafikannya? Bukankah rakyat semakin bijak dalam pengamalan konsep demokrasi pada hari ini?
Bola sepak atau politik, 3-3-2-2 tetap mempunyai persamaan dari gaya dan hasil kerja.
Penutup
Siapapun kita, sukan bola sepak sentiasa menambat hati sesiapa sahaja. Begitu juga dengan Perdana Menteri kita, Tun Mahathir Mohamad.
Buat Tun Mahathir, kami mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan di PRU lalu, dan juga perlantikan sebagai Perdana Menteri ke-7.
Selamat menjalankan tugas Tun!