Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017/18 sudah melabuhkan tirainya malam tadi dengan Liverpool berjaya menamatkan saingan di tempat ke-4 selepas menundukkan Brighton 4-0 di Anfield.
Satu pencapaian yang positif buat pengendali Liverpool, Jurgen Klopp untuk dijadikan sebagai tonik berguna menjelang pertembungan menarik menentang Real Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) nanti.
Bagi Klopp, berakhirnya aksi dalam saingan EPL memberikan peluang buatnya untuk memberikan fokus sepenuhnya bagi mempersiapkan pasukan menjelang pertemuan di Kiev pada 27 Mei ini.
”Kami mempunyai masa dua minggu untuk membuat persiapan untuk perlawanan terbesar setakat ini, itu sudah pasti,” Klopp bercakap kepada wartawan.
”Ia merupakan perlawanan yang besar tetapi sekarang saya sangat menantikannya.”
”Ini memberikan kami satu rangsangan yang besar. Bayangkan jika kami beraksi di final dan satu-satunya peluang untuk kami beraksi di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan adalah dengan memenangi perlawanan nanti.”
”Ia mungkin bukan pilihan terbaik untuk dipilih tetapi ia sangat ‘cool’. Ia akan menjadi menarik.”
Dalam perkembangan yang sama, Klopp turut mengulas mengenai kecederaan yang dialami James Milner.
”Hanya hari ini (menentang Brighton) tidak membolehkan Milner untuk beraksi. Saya merasakan dia masih memerlukan tiga atau empat hari lagi dan kemudian dia akan kembali cergas.”
Liverpool kini dalam usaha untuk mengulangi pencapaian menjuarai Liga Juara-Juara Eropah seperti yang dilakukan kali terakhir pada musim 2004/05 selepas menundukkan AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti.
Manakala, lawan mereka, Real Madrid memburu kejuaraan ke-13 dan juga mahkota UCL buat kali ketiga berturut-turut.