Quantcast

BERITA

Tugu David Beckham Dirasmikan di Los Angeles

David Beckham kini mempunyai tugu berupa dirinya sendiri – di Los Angeles!

Salah satu kelabnya, Los Angeles Galaxy mengambil keputusan untuk mereka bentuk tugu khas untuk bekas pemain mereka itu.

Pelancaran tugu itu dibuat di luar stadium di bandar raya itu pada pagi Sabtu. Sesi pelancaran itu dibuat sebelum perlawanan pembukaan musim 2019 di antara LA Galaxy menentang Chicago Fire.

Dalam aksi pembukaan tersebut, Galaxy menewaskan Fire dengan keputusan berkesudahan 2-1. Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol kemenangan untuk tuan rumah.

Mengenang jasa

Perpindahan Beckham ke LA Galaxy ini telah membuka mata ramai ke Major League Soccer. Perpindahan itu tidaklah sia-sia kerana beliau memenangi dua trofi bersama Galaxy semasa 5 musim di sana.

Tugu Beckham itu merupakan tugu pemain bola sepak pertama daripada saingan MLS di negara itu.

Semasa pelancaran tersebut, Beckham menyatakan beliau amat bersyukur dan berterima kasih sejak berhijrah ke Los Angeles. Beliau ditemani isterinya semasa pengenalan tugu bersejarah itu.

Robbie Keane antara bekas pemain Galaxy yang turut berada semasa perasmian tersebut. Begitu juga dengan pemain bola keranjang terkenal Kobe Bryant.

Ratusan jemputan turut hadir sewaktu majlis ringkas tersebut.

Setia bersama MLS

Beckham memanfaatkan peluang dengan membantu perkembangan bola sepak di Amerika Syarikat. Ini terbukti beliau berjaya membentuk Inter Miami.

Inter Miami dijadualkan beraksi dalam MLS mulai musim 2020 yakni tahun hadapan.

Semasa ditemuramah, beliau turut melahirkan hasrat untuk membawa masuk pemain yang terbaik dan menjadikan MLS ini liga yang berjaya.

Dikenang

Presiden Galaxy, Chris Klein menyatakan Beckham akan dikenang sebagai watak penting dalam sejarah MLS dan LA Galaxy.

Semoga Beckham akan berjaya pula bersama Inter Miami.

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!