Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel jelas sekali berasa kecewa dengan persembahan yang ditampilkan oleh para pemainnya ketika tewas 1-0 ditangan Dinamo Zagreb.
Kekalahan tersebut amatlah tidak diundang oleh Tuchel dikala Chelsea membuka kempen UEFA Champions League jauh dari Stamford Bridge.
Dalam reaksinya selepas kekalahan memalukan itu, Tuchel berasakan yang pasukannya tidak begitu dahaga mencari kemenangan.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan yang Tuchel berasa para pemainnya seperti golongan yang “pengecut” untuk memburu tiga mata.
Bagi Tuchell, beliau berasa kecewa kerana kemenangan tidak berjaya diraih selepas momentum menewaskan West Ham United baru-baru ini tidak diteruskan.
“Saya rasa seperti berada dalam filem yang salah, saya tak sangka perkara ini akan berlaku.
“Saya sangkakan perlawanan lalu [menentang West Ham] akan membantu kami. Saya sangka pasukan saya sudah bersedia, saya fikirkan kami semua tahu apa makna semua ini [perlawanan menentang Zagreb],” jelas Tuchel.
Tuchel mengakui yang beliau amat marahkan skuadnya kerana seolah-olah memandang enteng cabaran wakil dari Croatia ini.
“Saya tak tahu dari mana datangnya persembahan seperti ini. Kurangnya keazaman, tak dahagakan [kemenangan], kurangnya intesiti untuk berikan apa yang kami perlu ketika bertanding di peringkat tertinggi,
“Kami jelas sekali tidak menjadi apa yang kami mahu jadi,” ujar Tuchel.
Tuchel turut berkata yang persembahan Chelsea tidak begitu baik dari segala segi – baik sebagai individu atau pun pasukan.
“Saya marah mengenai persembahan kami. Ianya tidak mencukupi, tidak cukup klinikal, tidak cukup agresif apabila mempunyai bola, tidak cukup keazaman.
“Ianya tidak cukup bagus dari segi persembahan individu, ia juga tidak elok sebagai sebuah pasukan,” kata Tuchel lagi.
Dengan kekalahan Chelsea ini, mereka kini menduduki tangga terbawah kumpulan E selepas satu perlawanan.
Dua lagi pasukan dalam kumpulan yang sama, AC Milan dan RB Salzburg pula menduduki tangga kedua dan ketiga selepas perlawanan mereka berakhir dengan seri 1-1.