Tuah Disebalik Musibah, Kedah Dapat 6 Mata Percuma

Aidil Sharin Sahak Kedah Piala Malaysia 2021

Kedah yang belum bertemu Negeri Sembilan FC bertuah apabila memperolehi enam mata percuma, sementara Melaka United dan Kelantan United dihadiahkan tiga mata disebalik musibah yang menimpa lawan mereka.

Ia ekoran penarikan diri Negeri Sembilan daripada saingan Piala Malaysia 2021 akibat jangkitan COVID-19, semua baki saingan melibatkan mereka akan dibatalkan dengan lawan akan diberikan kemenangan 3-0.

Sebelum ini Negeri Sembilan telah melalui dua perlawanan dengan satu kemenangan dan satu kekalahan – menang 1-0 ke atas Kelantan United dan tewas 0-2 kepada Melaka United dalam aksi pertama Piala Malaysia.

Sebagai antara calon untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia kali ini, keputusan ini dilihat amat mendukacitakan, namun tiada apa yang mampu mereka lakukan apabila hampir keseluruhan skuad mereka disahkan telah dijangkiti positif COVID-19 iaitu melibatkan 20 pemain dan empat orang pegawai pasukan.

Dari baki empat perlawanan, tiga daripadanya akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan pastinya penyokong setia skuad Jang sudah tidak sabar untuk kembali memenuhi stadium selepas ini.

Namun dengan perkembangan terbaharu ini, pastinya para penyokong kecewa tidak dapat melihat pasukan kesayangan mereka kembali menjuarai Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi adalah pada tahun 2011.

Menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League, Stuart Ramalingam, berdasarkan kepada Bahagian 13: Pematuhan SOP Penganjuran Perlawanan Piala Malaysia 2021, tiga pasukan dalam Kumpulan C akan mendapat kemenangan percuma 3-0 selepas Negeri Sembilan sah menarik diri dari saingan.

“Sekiranya terdapat pegawai atau pemain yang didapati positif COVID-19 dan mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari seperti yang ditetapkan oleh KKM, menyebabkan kelab tidak dapat menjalani latihan dan menyertai pertandingan, maka, perlawanan yang melibatkan kelab terbabit akan dibatalkan serta dikira kalah 0-3.

“Negeri Sembilan FC yang mula menjalani prosedur isolasi atau kuarantin bermula 18 Oktober 2021 sehingga 27 Oktober 2021, tidak dapat meneruskan perjuangan dalam peringkat kumpulan sebagaimana mereka diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari yang telah ditetapkan oleh KKM,” jelas Stuart Ramalingam.

Stuart Ramalingam yang menganggap insiden itu sebagai satu perkhabaran yang tidak diingini, mengharapkan agar barisan pegawai dan pemain skuad Hobin Jang Hobin itu cekal dan tabah menghadapi ujian berkenaan sekali gus berharap mereka akan kembali beraksi di pentas Liga Malaysia dalam tempoh terdekat.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut berharap pasukan-pasukan lain kekal berdisiplin dan menjaga gelembung sukan demi memastikan perjalanan pasukan dalam kempen Piala Malaysia 2021 tidak terjejas.

Ini merupakan kali pertama pasukan yang dijangkiti COVID-19 ‘didenda’ apabila sebelum ini, hanya perlawanan yang melibatkan pasukan tersebut ditunda sebagaimana kes yang melibatkan Kedah dan Kelantan United di Liga Super dan Liga Premier – menariknya mereka dalam kumpulan yang sama di Piala Malaysia.

Dengan itu, Kedah memintas kedudukan Melaka United sebagai pendahulu Kumpulan C berdasarkan perbezaan jaringan dan berkongsi sembilan mata, sementara Kelantan United di kedudukan ketiga dengan tiga mata.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN