Isu-isu yang dihadapi di awal kejohanan Piala Dunia adalah kesukaran perjalanan di antara benua dan peperangan.
Pertandingan edisi Piala Dunia 1942 dan 1946, yang dicadangkan untuk Jerman dan Brazil menjadi tuan rumah terpaksa dibatalkan kerana Perang Dunia II.
Namun selepas berakhirnya Perang Dunia II, kejohanan Piala Dunia kembali semula diadakan pada tahun 1950. Bagi edisi tersebut, Brazil dipilih sebagai tuan rumah.
Berikut merupakan 7 fakta mengenai edisi Piala Dunia 1950:
1. Format perlawanan akhir berbeza
Jika dalam edisi Piala Dunia sebelum ini, perlawanan akhir akan ditentukan dengan perlawanan yang membabitkan hanya dua pasukan.
Tetapi, bagi edisi Piala Dunia 1950, FIFA telah menukar format baru dengan menggabungkan juara peringkat kumpulan iaitu, Brazil, Uruguay, Sepanyol dan Sweden digabungkan dalam satu kumpulan untuk bersaing merebut gelaran juara Piala Dunia.
Uruguay cemerlang dalam perlawanan peringkat kumpulan dengan memperoleh 2 kemenangan dan satu seri, manakala tuan rumah Brazil tewas satu perlawanan.
Uruguay dinobat sebagai juara edisi Piala Dunia 1950 selepas berjaya mendahului Brazil, Sweden dan Sepanyol dengan mengumpul 5 mata perlawanan.
2. Perjalanan Itali ke Brazil dengan kapal laut
Pasukan Itali merupakan salah satu pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan edisi Piala Dunia 1950.
Juara Piala Dunia 1938 pada mulanya hampir membatalkan penyertaan mereka di Brazil berikutan tragedi Superga pada 4 Mei 1949. Berikutan kejadian malang yang menimpa pesawat Superga, para pemain Itali masih trauma untuk menaiki pesawat ke Brazil.
Namun, akhirnya Itali memutuskan menyertai edisi Piala Dunia 1950 dan memilih untuk berangkat ke Brazil dengan menggunakan perkhidmatan kapal laut.
Itali bukan pasukan pertama yang memilih menggunakan perkhidmatan kapal laut ke kejohanan Piala Dunia. Sebelum ini, dalam Piala Dunia 1930, Belgium, Perancis dan Romania juga pernah menggunakan perkhidmatan tersebut.
3. Mencipta rekod penyokong terbanyak
Edisi Piala Dunia 1950 telah berjaya mencatatkan rekod jumlah kehadiran penonton ke stadium terbanyak sejak kejohanan itu diadakan.
Dalam perlawanan yang melibatkan tuan rumah, Brazil bertemu Uruguay, jumlah kehadiran penonton berjaya dicatatkan sebanyak 205 ribu orang.
Jumlah keseluruhan penonton yang hadir sepanjang edisi ini berlangsung bermula dari 24 Jun sehingga 15 Julai telah dicatatkan sebanyak 1,043,550 orang.
Ini bermakna hampir 61 ribu penonton yang hadir bagi setiap perlawanan untuk edisi Piala Dunia 1950.
4. Jerman dan Jepun dilarang menyertai Piala Dunia 1950
FIFA hampir untuk membatalkan edisi Piala Dunia 1950 disebabkan tragedi Perang Dunia ll.
Namun satu mesyuarat khas kongres FIFA yang diadakan telah memutuskan untuk meneruskan edisi Piala Dunia bagi tahun 1950 selepas kali terakhir ianya diadakan pada tahun 1938 di Perancis.
FIFA telah meletakkan syarat dimana negara Jerman dan Jepun tidak dibenarkan untuk menyertai edisi 1950.
Hal ini disebabkan kedua-dua negara ini telah mengalami kehancuran dan kemusnahan besar harta benda persendirian dan awam, malah kehilangan berjuta-juta nyawa akibat penglibatan mereka dalam Perang Dunia ll.
5. Scotland memboikot edisi Piala Dunia 1950
Jika dalam edisi Piala Dunia 1934 menyaksikan beberapa negara-negara sekutu Inggeris telah memboikot kejohanan FIFA.
Perkara yang sama turut berlaku dalam edisi Piala Dunia 1950.
Dalam gelaran Piala Dunia ini, Scotland telah membuat keputusan bahawa mereka enggan menyertai kejohanan anjuran FIFA itu.
Meskipun, Persekutuan Bola Sepak Scotland pada awalnya berhasrat akan terbang ke Brazil jika mereka menduduki tempat pertama di kejohanan Home Championship.
6. Austria dan Belgium batal penyertaan
Piala Dunia 1950 mendapat penyertaan sebanyak 16 buah negara, dari tiga konfederasi yang berbeza.
Bagi benua Eropah, ianya diwakili oleh tujuh buah negara, dua daripadanya adalah Austria dan Belgium.
Tetapi apabila kejohanan ini sedang berlangsung, kedua-dua negara itu telah memutuskan membatalkan penyertaan mereka.
Alasanya adalah, kerana mereka tidak mempunyai banyak pengalaman dalam kejohanan empat tahun itu.
Kedudukan kedua negara itu kemudian digantikan oleh Turki dan Switzerland, tetapi akhirnya Turki juga memutuskan untuk mengundurkan diri kerana masalah keewangan.
7. Piala Dunia 1950 kembali di benua Amerika
Piala Dunia 1950 yang diadakan di Brazil merupakan edisi Piala Dunia keempat selepas kali terakhir diadakan pada tahun 1938 di Uruguay, sebelum FIFA telah menghentikan kejohanan itu kerana Perang Dunia II.
Selepas dua edisi terdahulu yang diadakan di benua Eropah iaitu di Itali dan Perancis, Piala Dunia 1950 kembali diadakan semula di benua Amerika, dan kali ini Brazil telah berjaya dipilih sebagai tuan rumah.