Bukan mudah bagi setiap pemain bolasepak berpeluang untuk beraksi mewakili negara di pentas tertinggi Piala Dunia.
Apabila kejohanan empat tahun sekali itu kembali membuka tirai, para pemain pasti berebut-rebut untuk membuktikan siapa yang lebih hebat di atas padang.
Bukan hanya sekadar mahu dipilih berada dalam kesebelasan utama, mencatat nama sebagai penjaring gol pada perlawanan pembukaan buat pasukan di Piala Dunia pasti menjadi impian oleh para pemain.
Apatah lagi menjaringkan hatrik!
Pada artikel kali ini, kami bawakan 6 pemain yang pernah menjaringkan hatrik pada perlawanan pembukaan pertama buat pasukan bagi kejohanan Piala Dunia.
1. Cristiano Ronaldo (Portugal lawan Sepanyol di Piala Dunia 2018)
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan hatrik pada perlawanan pembukaan saingan Piala Dunia ketika menentang Sepanyol.
Kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas terikat 3-3 pada perlawanan pertama kumpulan B yang berlangsung di Stadium Olimpik Fisht, Sochi.
Ronaldo menjaringkan gol pertamanya menerusi sepakan penalti seawal minit keempat, selepas beliau dijatuhkan didalam kotak penalti oleh Nacho Fernandez.
Kesilapan penjaga gol Sepanyol, David De Gea yang gagal menampan kemas bola percubaan Ronaldo pada minit ke-44 menyaksikan skuad kendalian Fernando Santos mendahului 2-1 dalam 45 minit yang pertama.
Ronaldo meledak gol ketiganya menerusi sepakan percuma pada minit ke-88, sekali gus menafikan hasrat Sepanyol untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan tersebut.
2. Thomas Müller (Jerman lawan Portugal di Piala Dunia 2014)
Pasukan Jerman membuat kejutan besar pada Piala Dunia 2014 apabila membenam pasukan Portugal 4-0 dalam perlawanan pembukaan bagi Kumpulan G yang berlangsung di Arena Forte Nova.
Thomas Müller berjaya menjaringkan tiga gol dalam perlawanan tersebut.
Müller menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-11 menerusi sepakan penalti selepas rakan sepasukan, Mario Götze ditarik oleh Joao Pereira didalam kotak penalti.
Müller meledak gol kedua peribadinya didalam kotak penalti selepas menerima hantaran dari Toni Kroos sebelum berakhir separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua pula, Müller mempamerkan kehebatannya dengan menjaringkan gol keempat buat Jerman dan yang ketiga bagi dirinya di minit 78 hasil hantaran dari Andre Schürrle yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Portugal, Rui Patricio.
3. Miroslav Klose (Jerman lawan Arab Saudi di Piala Dunia 2002)
Kekalahan besar 5-0 yang dialami Arab Saudi keatas Rusia pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018 bukanlah kekalahan pertama bagi negara mereka semenjak beraksi pentas kejohanan Piala Dunia.
Sebenarnya, pasukan Arab Saudi pernah mengalami kekalahan paling terburuk iaitu pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2002.
Beraksi di benua Asia sedikit pun tidak memberi kelebihan buat skuad kendalian Nasser Al-Johar apabila mereka dikejutkan Jerman 8-0 pada perlawanan pertama kumpulan E yang diadakan di Stadium Sapporo Dome, Sapporo, Jepun.
Penyerang Jerman, Miroslav Klose berjaya menjaringkan tiga gol pada perlawanan tersebut.
4. Rob Ronsenbrink (Belanda lawan Iran di Piala Dunia 1978)
Skuad Belanda bermula garang pada perlawanan pertama pembukaan Piala Dunia 1978 dengan menewaskan Iran tiga gol berbalas kosong.
Rob Ronsenbrink menjadi wira pada perlawanan yang berlangsung di Estadio Ciudad de Mendoza, Mendoza.
Tiga gol yang disumbangkan oleh beliau berjaya membantu pasukannya menewaskan Iran pada perlawanan pertama pembukaan peringkat kumpulan D.
5. Sándor Kocsis (Hungary lawan Korea Selatan di Piala Dunia 1954)
Era kemuncak kegemilangan bolasepak Hungary pada Piala Dunia 1954 semasa ianya dianjurkan oleh Switzeland.
Pada era tersebut, Hungary memiliki ramai pemain berkelas dunia antaranya Ferenc Puskás dan juga Sándor Kocsis.
Dalam perlawanan pembukaan kumpulan 2, Hungary berjaya mencatatkan rekod jaringan terbesar dengan menewaskan Korea Selatan 9-0.
Sándor Kocsis merupakan antara nadi utama yang membantu kemenangan Hungary pada perlawanan tersebut.
Beliau berjaya mencetak nama sebagai hatrik pada minit ke-40″, 62″ dan 79″.
6. Oscar Míguez (Uruguay lawan Bolivia di Piala Dunia 1950)
Pertembungan perlawanan pertama satu lawan satu kumpulan 4 diantara Uruguay dan Bolivia telah diadakan di Estádio Independência, Belo Horizonte.
Uruguay tidak berdepan masalah apabila berjaya menjinakkan Bolivia 8-0.
Oscar Míguez berjaya membantu pasukan dengan menjaringkan tiga gol dalam perlawanan tersebut.