Gandingan Karim Benzema, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo yang lebih dikenali sebagai trio ‘BBC’ kembali digandingan pagi tadi pada perlawanan menentang Deportivo Alaves di Santiago Bernabeu.
Lebih menarik gandingan tersebut berjaya menjaringkan gol untuk menghadiahkan kemenangan 4-0 dengan Cristiano Ronaldo mencipta dua jaringan manakala Benzema dan Bale masing-masing mencipta satu gol.
Aksi pada babak pertama jelas dikuasai skuad bimbingan Zinedine Zidane dengan beberapa percubaan menarik dijelmakan, namun usaha tersebut masih belum mampu untuk memberikan jaringan buat Real Madrid.
Alaves yang sesekali melancarkan serangan juga tidak berupaya untuk merobek gawang yang dikemudi Keylor Navas itu.
Tuan rumah akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-44 selepas Cristiano Ronaldo berjaya meledakkan rembatan kaki kiri bagi menyempurnakan hantaran dari Benzema.
Dua minit selepas permainan bersambung, giliran Bale pula mengukir nama selaku penjaring gol buat Real Madrid.
Gol tersebut berpunca daripada gerakan Bale bersama Benzema yang melorongkan bola kepada bintang skuad kebangsaan Wales itu yang tidak bermasalah untuk membolosi Fernando Pacheco di gawang Alaves.
Ronaldo yang bertindak selaku ketua pasukan pada perlawanan ini sekali lagi menemui sentuhan jaringan di minit ke-61 untuk jaringan ketiga buat Los Blancos.
Pemain kebangsaan Portugal itu berpeluang untuk meledakkan hatrik namun, beliau telah memberikan ruang buat Benzema bagi mengambil sepakan penalt yang dihadiahkan kepada Real Madrid pada penghujung perlawanan.
Karim Benzema yang mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang untuk jaringan keempat perlawanan sekaligus memuktamadkan kemenangan 4-0.
Kemenangan ke-15 dalam saingan La Liga itu meletakkan Real Madrid ditanggan ke-3 dengan mencatatkan 51 mata. Ketinggalan 14 mata dibelakang pendahulu liga yang juga merupakan musuh ketat, Barcelona.