Dengan nama Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Seperti yang kalian sedia maklum, waktu makan tengah hari di seantero Malaysia pada 12 Februari 2015 dikejutkan dengan pemergian ikon pengulas bola sepak Malaysia, Dato’ Haji Hasbullah Awang yang pulang ke rahmatullah. Arwah dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1220 tengah hari di Institut Jantung Negara akibat masalah komplikasi jantung selepas dimasukkan di IJN sejak minggu lepas.
Tidak banyak yang penulis harus ulas tentang pengakhiran hayat arwah. Yang pasti, pulangnya arwah Haji Hasbullah Awang menemui Tuhannya memang meninggalkan kesan yang mendalam kepada penulis yang gilakan bola sepak. Masakan tidak, sudah hampir 27 tahun penulis mendengar ulasan dan celoteh bola sepak dari arwah. Hilangnya arwah mengguris memori penulis menonton acara bola sepak sejak zaman kanak-kanak di kaca tv kotak besar, melalui tempoh remaja di tv skrin rata , hingga menjengah zaman smart tv yang melengkung.
Ajaibnya, dalam tempoh 27 tahun yang lama itu, penulis tidak pernah jemu mendengar bad comments dari Haji Hasbullah ketika menjadi pengulas. Ya, arwah Haji Hasbullah kerap membuat bad comments, namun kita semua merelakannya kerana ia bisa membuatkan kita terhibur. Malah, kita semakin sayang pada insan yang bernama Hasbullah Awang ini. Baca “bad commnets” di bawah sebagai contoh.
“Chipita memassing kepada Chipita..ohh maafkan saya, 2-2 hitam..keliru saya di situ”
Penulis tidak pasti ini game Perlis yang mana, tetapi ayat arwah memang boleh bikin panas. Peminat setia bola sepak negeri Perlis pasti tersenyum mengingatkan ulasan Haji Hasbullah Awang ini.
Haji Hasbullah Awang bermula sebagai juruhebah radio Radio 1 (Radio Kuantan) pada tahun 1976, menjadi pengulas sukan di RTM sebelum menyertai TV3 pada tahun 1992. Arwah berhijrah kembali ke RTM semula sebelum menjadi sebahagian dari ahli keluarga baru Astro Arena pada tahun 2014 sewaktu menjelang permulaan baru MSL 2014 dan menjadi pengulas untuk acara Piala Dunia.
Jasa dan penglibatan arwah dalam bidang pengacaraan sukan mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima anugerah Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran “Datuk” dari Presiden FAM, Sultan Pahang pada bulan Novembar 2010.
Hebatnya Haji Hasbullah ini dapat dilihat pada pemilihan penonton terhadap siaran TV. Katakanlah terdapat acara perlawanan bola sepak Malaysia menentang Brazil disiarkan di RTM dan Astro Arena pada masa yang sama. Penonton akan memilih untuk menonton siaran langsung tersebut di RTM hanya kerana Haji Hasbullah Awang mengulas di siaran itu. “Magis dan ungkapan ajaib” dari ulasannya benar-benar sebati dan mesra di jiwa penggila bola sepak tanah air.
Ramai generasi masa kini menyatakan kenangan ulasan terbaik dari Haji Hasbullah Awang adalah sewaktu Malaysia memenangi AFF Suzuki Cup tahun 2010. Namun, memori terbaik penulis dengan arwah adalah ketika beliau mengulas sewaktu Malaysia memenangi Piala Thomas tahun 1992.
Dengarkan ulasan emas ini:
“Dengan doa seluroh rakyat Malaysia, doa isteri-isteri Razif dan Jalani yang sedang mendodoikan anak-anak mereka, sejarah akan tercipta di final Piala Thomas ini”
Brilliant bukan? Ungkapan sebegini dari beliau benar-benar membakar semangat anak Malaysia yang terpaku di kaca tv.
Bayangkanlah, sejak penglibatan aktif arwah sejak menjadi pengulas sukan paling hero ini sejak pertengahan tahun 1980an hingga sekarang, sudah berapa generasi rakyat Malaysia yang bersorak di kaca TV dan corong radio tatkala mendengar ulasan beliau. Tanyalah kepada pemain bola sepak Malaysia tahun 80an, 90an hinggalah ke hari ini, siapa pengulas bola sepak kegemaran mereka, amat jarang untuk bibir mereka menyatakan nama lain selain Haji Hasbullah Awang.
Baca: Kompilasi Gambar Retro Jurulatih Malaysia
Hal ini kerana, arwah sering berbual-bual dengan pemain-pemain bola ini ketika mereka tidak bermain. Semata-mata untuk mendapatkan info, mahupun sekadar untuk bertegur sapa. Beliau kerap bercakap dengan sesorang pemain itu untuk lebih maklumat personal. Beliau benar-benar mengambil tahu tentang asal usul pemain itu sendiri. Contohnya pemain Selangor Amri Yahya, apabila mengulas , Haji Hasbullah mesti akan sebut yang Amri berasal dari Tanjung Karang, anak seorang budak kampung dan sebagainya.
Lihat contoh ulasan arwah Haji Hasbullah kepada Mohd Khyril Muhymeen Zambri dibawah. Ia juga turut dikira bad comments, tetapi ia merupakan info peribadi yang amat menarik kepada penggila bola sepak.
“Pemain sayap yang makanan kegemarannya adalah nasi ayam”
“Bapanya seorang guru silat di Kedah”
“Seperti jelapang padi yang luas terbentang di hadapannya, namun sepakannya tinggi melepasi pintu gol”
Arwah adalah ikon pengulas sukan paling diminati di Malaysia. Malah, arwah juga pernah menyumbang suara untuk filem Sumolah arahan Adfllin Shauki. Suara emas beliau ternyata amat nostalgik dan berada di kelas yang tersendiri. Adakah kalian familiar dengan ungkapan, “Kembali kita ke Angkasapuri” ? Ya. Ungkapan itu merupakan salah satu ungkapan trademark beliau.
Perginya arwah berjumpa Tuhan bukan sahaja satu kehilangan kepada ahli keluarga beliau, malah kehilangan besar yang amat dirasakan oleh penggila bola sepak tempatan. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
Jika orang bertanya, zaman bola sepak manakah yang penulis hidup, penulis tanpa segan silu menyatakan bahawa penulis hidup di zaman emas generasi Hasbullah Awang. Pengulas sukan terbaik bagi generasi penulis.
I grew up watching Malaysian sport listening to his bad, funny comments with his unique, golden voice . He is like “other father” in sport broadcasting to us. He deserve a special place in our heart. He is irreplaceable.
Al-Fatihah.