Trequartista merupakan antara peranan yang cukup penting dalam usaha seseorang pemain di dalam padang bagi menjadi perancang kepada jaringan buat pasukan mereka sekali gus untuk memburu kemenangan dalam satu-satu perlawanan.
Istilah trequartista yang sebenarnya berasal dari bahasa Itali membawa maksud, 3 suku padang. Makna ini pastinya memberikan kita idea dan gambaran jelas di mana pemain dengan peranan ini akan beraksi.
Secara teknikalnya, pemain berperanan trequartista akan berada pada posisi di antara pemain tengah dan penyerang. Boleh juga dikelaskan sebagai separuh pemain tengah dan separuh penyerang.
Di dalam pasukan yang mengamalkan peranan trequartista, pemain ini pastinya akan menjadi jantung kepada serangan-serangan yang akan dilakukan.
Trequartista juga bertindak sebagai penjaring gol yang berada lebih jauh dari posisi di hadapan gol kerana semestinya pemain yang bertindak sebagai trequartista mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi untuk merencanakan serangan-serangan berbahaya. Juga bertindak menghubungkan dalam pemain tengah dan sayap kepada penyerang.
Untuk mengelakkan diri dari menjadi sasaran ‘marking’ pihak lawan, pemain berperanan trequartista akan banyak bermain di kawasan tengah padang, membuat percubaan dan mencipta peluang gol kepada rakan sepasukan melalui kawasan yang sedikit jauh dari pemain pertahanan pihak lawan.
https://www.youtube.com/watch?v=0XaiAIUisq4
Pemain yang bertindak sebagai trequartista wajib memiliki kemahiran mengawal bola dalam tempoh yang agak lama. Kelebihan ini diperlukan bertujuan supaya bola tidak mudah hilang dari kakinya dan juga yakin menyimpan bola lebih lama untuk rakan sepasukan membuka ruang dan sekaligus memudahkan trequartista menghantar bola pada tempat yang betul.
Kemahiran yang wajib dimiliki oleh trequartista, pastinya apa yang ada pada seorang pemain tengah dan penyerang. Seperti kebolehan menggelecek, hantaran terakhir (assist), mencipta peluang, membuat percubaan ke arah gol dan mempunyai mentaliti yang tinggi.
Perkara penting yang rakan sepasukan harus ambil tahu dan memahami tentang trequartista ialah pemain ini pastinya kurang melibatkan diri dalam situasi bertahan. Hal ini kerana trequartista menjadi harapan kepada jurulatih dan pasukan untuk bergerak sebebas yang boleh di tengah padang untuk mencipta peluang untuk memporak-perandakan kubu pertahanan lawan.
Keadaan ini akan memaksa pihak lawan mengorbankan seorang pemain tengah untuk mengikat trequartista walau dimana pemain ini bergerak. Dan sebagai trequartista pula, seharusnya pemain ini mampu bertindak menjauhkan diri dari ‘marking’ ketat pihak lawan.
Peranan berbeza Trequartista era moden
https://www.youtube.com/watch?v=6FEnQLTqNfM
Contoh Trequartista pada era moden ialah Kevin De Bruyne. Mereka memiliki semua kemahiran yang perlu ada pada seorang trequartista.
Pemain bernombor 10 yang terbaik untuk generasi moden. Bagi pasukan Manchester City, De Bruyne bermain agak di tengah padang. Dalam keadaan ini, beliau akan menggunakan sepenuh kemahirannya untuk menambah penguasaan City di tengah padang.
Trequartista yang diterapkan oleh De Bruyne agak berbeza jika dibandingkan dengan Trequartista klasik seperti Zidane, Riquelme, Francesco Totti dan Kaka. De Bruyne banyak mengubah peranannya.
Trequartista menjadi seorang pemain sayap tambahan (Mezzala) berbanding trequartista klasik yang banyak bermain di ruang antara pemain tengah dan penyerang. Situasi De Bruyne membuatkan beliau lebih menjadi harapan untuk melakukan hantaran lintang berbanding apa yang dilakukan trequartista klasik yang banyak melakukan hantaran terakhir dari tengah.
Kredit featured image: Clive Brunskill/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai taktikal dalam bola sepak:
Analisis: 5 Isu Taktikal Malaysia Ketika Tewas Di Tangan Filipina