Kecoh sebentar platform media sosial di Malaysia hari ini apabila pemain tengah Manchester United, Paul Pogba tampak sedang menonton siri animasi tempatan, Omar & Hana di posting laman Facebooknya.
Walaupun fokus posting tersebut adalah untuk menunjukkan televisyen terbaharu miliknya yang bersaiz besar, namun semua mata rakyat Malaysia tertumpu dengan apa yang terpapar di kaca televisyennya itu.
Walaupun belum sampai sehari beliau memuat naik posting tersebut, ia telah menarik perhatian lebih 4,000 komen dan hampir 2,000 perkongsian di laman Facebook, tentunya majoritinya dari rakyat Malaysia.
Ia juga hangat trending di laman Twitter. Rata-rata teruja melihat siri animasi tersebut di kaca televisyennya.
Titip pemain berusia 28 tahun itu di laman Facebooknya yang diikuti oleh 25 juta pengikut, “Bersama C62+ TV terbaru saya dari TCL dan ianya skrin bersaiz XXL. Sesi menonton filem bersama keluarga di rumah.”
Seperti yang diketahui umum, beliau telah berkahwin dengan model kelahiran Bolivia, Maria Zulay sejak 2019 dan telah dikurniakan dua cahaya mata. Beliau juga beragama Islam, jadi tidak pelik jika beliau memilih siri animasi Omar & Hana sebagai tontonan sekeluarga terutamanya untuk anak-anaknya yang masih kecil.
Yang mengujakan semua adalah siri animasi tersebut merupakan keluaran tempatan dihasilkan oleh syarikat animasi Malaysia, Digital Durian (DD). Laman YouTube Omar & Hana versi Bahasa Inggeris kini menerima capaian di seluruh dunia dengan jumlah pengikut melebihi angka 900,000. Kini, ia mungkin akan bertambah!
@paulpogba shout out brand tv sambil pasang Omar & Hana. 👍 pic.twitter.com/6kbgKRtHBI
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) September 17, 2021
Antara komentar di laman Twitter adalah daripada pemilik Twitter, Hamizah H. Ciapnya, “I am itching to share this. Paul Pogba is actually watching a Malaysian animation serie “Omar dan Hana” Omaigod!!!“
Selain itu, pemilik Twitter, Muhammad HafizRayyan pula meninggalkan ciapan memuji siri animasi tersebut, “Paul Pogba kids watch Omar Hana. Omar Hana make Malaysia proud. World class animation!”
Malah ada juga yang mencadangkan kepada Pogba untuk menonton pula siri animasi tempatan lain antaranya Upin & Ipin dan Didie & Friends. Nampaknya, Omar & Hana akan mendapat pengikut-pengikut baharu disamping dapat mempromosikan siri animasi keluaran Malaysia di mata dunia. Malaysia mendunia!