Treble 98/99: Bagaimana ‘Cross’ David Beckham Membantu Menerbangkan 3 Piala Ke Old Trafford

Pasukan Manchester United 1999 dianggap antara pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak dan sudah pastinya di Man. United ini adalah pasukan terbaik sepanjang zaman mereka.

Mereka berjaya merangkul treble pada musim tersebut. Di Eropah, Treble ‘besar’ merujuk kepada treble dengan Piala Liga + 1 Domestik + 1 Liga Juara-Juara Eropah.

Manchester United 98/99

Ianya pasukan yang menggabungkan bakat muda dan bakat yang ranum selepas dijaga dengan elok bertahun-tahun sebelum ini- terutama sekali kelas 92.

Sir Alex Ferguson menyuntik elemen bola sepak yang ‘kejam’ kepada lawan mereka dengan cuba menghancurkan pasukan lawan secepat mungkin.

Ketika Ole Gunnar Solskjaer dilantik menjadi pengurus Man. United pada 2019, beliau menegaskan salah satu prinsip Sir Alex adalah: Sentiasa berani dan menikmati bola sepak di kawasan lawan berbanding dengan bertahan di kawasan sendiri.

Manchester United’s Ole Gunnar Solskjaer celebrates his winning goal with Dwight Yorke, Ronny Johnsen and Jaap Stam.

Manchester United ketika itu bukan pasukan yang terus bertahan selepas mendahului 2 gol. Apatah lagi 1 gol. Mereka sanggup ‘berisiko’ bolos, yang penting mereka menyerang lawan dan membuatkan mereka menderita.

Inilah ramuan mereka juara UCL, Liga Perdana Inggeris dan juga 1 Piala Domestik – Piala FA.

David Beckham dan Treble

Dalam perlawanan amal menentang Bayern Munich pada 26 Mei 2019, Beckham memberikan aksi yang membangkitkan kembali ingatan para peminat kepada dirinya satu ketika dahulu ketika bersama Man. United. Anda hayati dahulu teknik ini yang menjadi sangat ikonik dengan David Beckham.

Hantaran silang beliau dan juga visi permainan beliau membuatkan peminat mengucapkan terima kasih kepada Beckham yang pernah menghiasi alam bola sepak mereka pada satu ketika dahulu.

Begitu juga dengan gol Beckham yang menunjukkan dirinya tidak pernah mahu berubah. Beliau masih lagi ‘budak’ degil yang hanya bergantung kepada kaki kanannya.

Beliau bukanlah pemain yang boleh menggelecek pemain lain. Beliau lebih selesa untuk berada di satu ruang besar dan melakukan hantaran silang.

Di sebalik reputasinya sebagai pemain bola sepak-selebriti, tiada siapa dapat menafikan kelegendaan Beckham dalam Manchester United terutama sekali pasukan era Sir Alex Ferguson.

Beckham bukan pemain yang mampu menggunakan kaki kiri. Dalam perlawanan amal mengingati treble menentang Bayern Munich, kedegilan Beckham untuk hanya menggunakan kaki kanan masih tidak berubah walaupun sudah ‘tua’.

Ramai jurulatih mengenakan peraturan agar pemain perlu menggunakan 2 kaki mereka walaupun lemah sekalipun – itu kerana anda pemain profesional.

Namun nilai kaki kanan Beckham terlalu mahal membuatkan kita terlalu mudah memberikan pengecualian dan tutup mata di atas kelemahan kaki kiri beliau. Itu yang berlaku kepada Lionel Messi dan kaki kirinya.

Anda ingat lagi tak bagaimana keegoan Quaresma yang tidak mahu ‘menghidupkan’ kaki kirinya sehingga dia sanggup mengorbankan masa untuk memperbaiki trivela beliau demi menutup ‘kecacatannya’.

Ini merupakan gambar ikonik bagaimana Quaresma menggunakan ‘dark art’ ini melakukan gol ketika Piala Dunia pertama beliau.

Ramai pengurus tidak gemar pemain terlalu banyak melakukan trivela kerana ianya ada risiko tersendiri dan juga membuatkan pemain malas untuk menggunakan kaki sekunder mereka.

Petikan daripada artikel: Trivela: Bagaimana Quaresma Gunakan Seni Gelap Ini Secara Ekpresif Dan Menutup Kecacatannya

Agak ironi ketika menjaringkan gol menentang Iran itu, Jose Mourinho adalah tetamu khas sebuah program tv untuk menganalisis perlawanan.

10 tahun lalu ketika di Inter Milan Jose Mourinho meminta pemain itu berubah dalam banyak perkara melibatkan aspek permainan beliau. Mourinho ketika itu berkata: “Quaresma harus terus belajar dan perbaiki diri, jika tidak, beliau tidak akan bermain.”

Mourinho merujuk kepada bukan sahaja hilang tempat di Inter Milan, malah dengan jurulatih dan pasukan lain pun beliau akan sukar. Namun terpancar senyuman di wajahnya menyaksikan gol ke atas Iran pada hari itu.

Memang beliau ada rasa ‘bias’ kerana itu negaranya. Namun dari sudut yang lain beliau menyatakan Quaresma sudah banyak belajar di dalam kariernya. Mourinho harus akur bahawa Quaresma pemain yang sangat ego. Namun beliau tidak menafikan kehebatan bekas anak didiknya itu.

“Saya yakin beliau sudah banyak berubah dan lebih berdisiplin dalam taktikal. Namun, sekarang ini beliau masih suka menendang bola dengan kaki luarnya.”

Mourinho hanya tersenyum melihat ‘budak’ bernama Quaresma itu dahulu sampai ke ‘tua’ masih enggan belajar untuk memperbaiki kaki kirinya. Untungnya Quaresma kerana beliau ada trivela. Itulah senjata utama beliau.

Mourinho juga menerima hakikat seni yang dianggap ‘seni gelap’ (black art) ataupun black market dalam bola sepak itulah yang membuatkan Quaresma terus ‘survive’ di dalam kariernya. ‘Ugutan’ beliau dahulu ke atas Quaresma masih tak cukup untuk membuatkan pemain nakal itu berubah untuk menghidupkan kaki kirinya.

Begitulah juga yang berlaku kepada David Beckham. Sir Alex Ferguson memiliki pengaruh yang sangat kuat untuk membeli mana-mana pemain ketika itu bagi menggantikan pemain yang tidak mahu menggunakan kaki kiri.

Tetapi beliau tetap memberikan pengecualian kepada Beckham kerana pemain itu istimewa dan tidak perlu dijelaskan terlalu banyak tentang kenapa beliau terus berada dalam pasukan.

Beckham membantu terbangkan 3 piala dengan ‘cross’ beliau

Mungkin ada yang bertanya, penting sangatkah David Beckham berbanding dengan pemain lain dalam kempen treble Man. United? Ataupun beliau mengatasi populariti pemain lain kerana statusnya sebagai selebriti bola sepak? Adakah Beckham mendapat kredit berlebihan?

Dalam bola sepak, salah satu prinsip bertahan adalah menolak pemain lawan ke bahagian sayap supaya mereka hanya ada opsyen hantaran lintang. Kecacatan Beckham ini menjadi satu kesempurnaan bagi pasukan Man. United. Beliau mampu melancarkan hantara lintang dengan kualiti ‘Beckham’.

Ya, ramai yang menggunakan nama Beckham kepada rujukan untuk hantaran lintang yang tepat dan cantik selain daripada sepakan percuma yang tepat.

“Cantik ‘cross’ kau bro, macam Beckham.”

Ataupun

“Free kick kau tadi macam Beckham lah.”

Itu antara ayat yang kerap digunakan ketika kita berada di padang dahulu. Sehingga ada filem yang dijudulkan dengan nama Beckham iaitu Bend It Like Beckham.

Beckham menyumbang 8 ‘assist’ daripada 29 gol United dalam UCL – pada musim treble Man. United dan hanya 12% menerusi bola mati. Ini membuktikan Beckham bukanlah pemain yang hanya bagus melakukan ciptaan peluang gol menerusi bola mati.

Musim tersebut juga Beckham melakukan 6 gol dan 11 bantuan gol dalam EPL.

Sehingga ada pengurus mengenakan peraturan berbeza untuk Beckham. Di mana ada pemain akan diarah untuk menghalang Beckham daripada melakukan hantaran lintang walaupun di zon berdekatan bendera sepakan penjuru.

Beckham sangat berbeza dengan Ryan Giggs. Beliau memiliki kualiti yang beliau sahaja tahu untuk maksimumkannya di dalam padang – walaupun beliau tidak sepantas Ryan Giggs.

Gandingan Giggs-Keane-Beckham menjadikan bahagian tengah Man. United sangat stabil. Ketika serangan balas, Man. United ada opsyen yang banyak. Sama ada menggunakan kelajuan gerakan Ryan Giggs, ataupun mempercepatkan tempo dengan hantaran panjang Beckham yang mencari rakannya yang sedang berlari seperti radar.

Terlalu banyak hantaran Beckham yang signifikan dalam musim Man. United menjuarai treble. Antaranya adalah ‘assist’ beliau pada pusingan ke-4 berhadapan Liverpool – di mana Man. United bangkit daripada ketinggalan.

Beckham percaya bahawa perlawanan itu sangat penting dalam usaha mereka mendapatkan 3 trofi musim tersebut. Tanpa ‘assist’ itu, cerita treble Man. United 98/99 tidak akan ditulis. Sary lagi hantaran beliau mencetuskan gol kemenangan Man. United.

Beckham berkata: “Saya rasa, detik yang benar-benar membangkitkan kami adalah ketika ketinggalan 1-0 di tangan Liverpool, dengan baki 5 minit lagi.”

“Namun kami bangkit dan menang 2-1. Ianya detik yang menggambarkan bahawa kami sedang menikmati musim yang baik. Dan kami juga sebenarnya menewaskan seteru terbesar kami pada minit akhir perlawanan. Ianya memberikan kami kekuatan tambahan pada musim itu.”

Namun begitu jasa terbesar hantaran Beckham adalah pada final UCL menentang Bayern Munich. Man. United bangkit pada masa kecederaan ke atas Bayern.

2 gol United adalah dicetuskan oleh sepakan penjuru Beckham. Ianya sepakan penjuru paling bermakna dalam sejarah Man. United. Bayern Munich tak mampu menangkis ancaman daripada sepakan penjuru Beckham.

Beckham membalas kepercayaan sebaik mungkin

Beckham adalah salah satu manifestasi kepada kualiti mengatasi kuantiti. Beliau tiada teknik dan skil yang banyak. Namun dengan teknikal yang terhad beliau memiliki kualiti yang sangat tinggi.

Beckham membalas kepercayaan Sir Alex Ferguson kepada beliau dengan memberikan pulangan lumayan kepada pasukan. Beckham adalah ‘team player’ yang berjuang untuk menghidupkan pemain lain dengan hantaran lintang beliau.

Jika anda cuba menjelaskan peranan Beckham secara taktikal, anda akan mendapati hanya Sir Alex Ferguson yang mampu mengoptimumkan penggunaan Beckham sehingga menjadi pemain elit.

https://twitter.com/AzeemZMir/status/500368546690379776

Selain daripada itu, tidak keterlaluan untuk dikatakan Beckham lebih kepada alat pemasaran berbanding dengan kualiti optimum seorang pemain bola sepak bertaraf bintang.

Statistik di bawah ini menjelaskan bahawa ketika di Man. United, Beckham bukan sahaja menjadi pencipta gol, malah beliau menjadi pemain tengah yang mampu menjaringkan gol.

https://twitter.com/AzeemZMir/status/500368546690379776

Di tempat lain, beliau hanya mampu menjadi pencipta gol kepada rakannya. Elemen yang hilang adalah jumlah gol. Itu yang pasukan lain tidak dapat daripada Beckham – dan hanya Man. United di bawah Sir Alex Ferguson dapat.

Selain daripada Man. United, di kelab lain Beckham melakukan lebih banyak kad kuning berbanding dengan gol.

Ianya sesuatu yang sukar dijelaskan kerana Beckham adalah pemain sayap tradisional yang anda tahu beliau akan melakukan hantaran lintang tetapi anda tidak mampu untuk menghentikannya. Di bawah Sir Alex Ferguson beliau menjadi pemain sayap tradisional yang mampu menjaringkan gol yang banyak.

Ratio 0.22 gol per perlawanan di Man. United berbanding dengan hanya 0.13 gol per perlawanan ketika di Real Madrid, dan 0.16 gol per perlawanan ketika di LA Galaxy.

Sama dengan Arjen Robben. Anda tahu pemain itu akan ‘cut inside’ dan melakukan lencongan ke ‘far post’ tetapi sangat sukar untuk menghentikan beliau meskipun ianya dalam kategori ‘predictable’.

Rumusan

Jadi, tidak hairanlah kenapa David Beckham menjadi antara legenda penting dalam sejarah treble Man. United 1998/99. Ianya bukan semata-mata kerana status beliau sebagai salah seorang selebriti dan pemain yang digilai ramai ketika di luar padang – sehingga ahli Spice Girl pun ‘sangkut’ dengan beliau.

Itulah kisah antara no.7 terbaik dalam sejarah Man. United – dengan cara beliau tesendiri – walaupun beliau tidak sepantas dan selincah George Best ataupun Cristiano Ronaldo. Beckham tetap no.7 ikonik Manchester United.

https://twitter.com/DavidChristianL/status/1132686039292698625

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN