Nama Traore Abdoulaye tidaklah sehebat Laszlo Repasi yang berjaya memberikan impak pantas terhadap prestasi pasukan Perak pada satu ketika.
Namun peminat pasukan Perak juga pastinya tidak dapat melupakan keringat yang pernah dicurahkan permata dari Burkina Faso ini dalam saingan Liga Super 2005, 2005/2006 dan 2006/2007.
Traore jelas berjaya membentuk satu rangkaian menarik bagi membantu gandingan Khalid Jamlus dan Keita Mandjou meledak gawang lawan.
2 musim terakhir beliau bersama Perak juga turut berjaya membantu Perak menjadi pasukan yang menjaringkan gol terbanyak dalam saingan Liga Super apabila mencatatkan 32 jaringan pada musim 2005/2006 dan 58 gol di musim berikutnya.
Menarik mengenai Traore adalah beliau berjaya menghasilkan jaringan pada perlawanan pertama bagi 2 musim berturut-turut pada 2005/2006 dan 2006/2007.
2 jaringan ketika menundukan Selangor dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih) 2005/2006 memberikan kejayaan 4-1 buat Perak ketika itu. Keita Mandjou turut menghasilkan 2 jaringan.
Musim seterusnya beliau turut mencetak nama selaku penjaring pada perlawanan pembukaan apabila berjaya menghadiahkan gol kemenangan Perak menewaskan Sarawak 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Ipoh. Lebih signifikan, jaringan pertama Perak pada perlawanan ini dijaringkan oleh Keita Mandjou.
Kini bekas pemain berusia 43 tahun itu merupakan penolong jurulatih pasukan AS Senabel yang beraksi dalam liga Divisyen 1 di Burkina Faso.
Beliau memiliki lesen kejurulatihan C dan B dari Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).
Ketika dihubungi, Traore berkongsikan kenangan beliau bersama Perak.
” Saya mengetahui tentang Perak ketika beraksi di Dubai, saya bertemu Keita Mandjou (ketika itu Keita sudah bersama Perak) disana tetapi pada mulanya ejen saya menghantar saya ke Perlis. Akhirnya saya memilih Perak.” ujar Traore yang ditemubual melalui aplikasi Whatsapp.
” Saya pernah beraksi di Burkina Faso, Dubai (6 tahun) tetapi bila saya beraksi di Perak, saya merasakan sungguh enjoy kerana semangat peminat yang begitu mendalam. Pada saya, ‘pemain’ yang terbaik di Perak adalah penyokong mereka sendiri. Saya juga adalah selamanya ‘Yop’. ” jelas bekas pemain antarabangsa Burkina Faso ini.
Beliau turut menambah faktor kecederaan yang dialami ketika perlawanan ke-23 Liga Super 2006/2007 menutup terus peluang buat beliau untuk membantu Perak.
” Saya mengalami kecederaan serius ketika perlawanan menentang Terengganu yang memerlukan kami mengutip 3 mata penuh untuk terus menghimpit Kedah di carta liga, akhirnya saya patah kaki pada perlawanan tersebut dan Perak hanya mampu seri 1-1. Itu perlawanan terakhir saya bersama Perak”.