Transformasi Mahalli Daripada Pertahanan Kental Kepada Penyerang Jadian

PJ City Mahalli Jasuli

Musim 2021 memberikan cabaran berbeza untuk pemain PJ City, Mahalli Jasuli apabila dia yang banyak bermain di bahagian pertahanan kanan atau sayap kanan, dipertaruhkan selaku penyerang utama.

Kecederaan yang dialami Darren Lok membuatkan ketua jurulatih, P. Maniam, tidak teragak-agak mempertaruhkan Mahalli mengetuai jentera serangan biarpun punyai pilihan lain seperti Kogileswaran Raj dan Khyril Muhymeen.

Maniam membuat keputusan itu kerana mengetahui keupayaan Mahalli yang pernah beraksi di posisi penyerang semasa dia bergelar jurulatih Piala Belia Selangor.

Menurut Mahalli, pengalaman beraksi semula sebagai penyerang memberikan satu dimensi berbeza buatnya namun dia gembira peluang diberikan Maniam seolah-olah telah memberikan nafas baharu dalam karier.

“Selepas kecederaan Darren, jurulatih ada berjumpa dengan saya secara peribadi dan bertanyakan jika saya boleh bermain sebagai penyerang, secara jujurnya saya memang terkejut.

“Namun, saya beritahu jurulatih yang saya akan cuba perlahan-lahan dalam kembali mendapatkan rentak serta cuba berada dengan tahap yang sama seperti penyerang-penyerang lain di Liga Super.

“Jurulatih berani memberikan saya peluang bermain sebagai penyerang kerana dia tahu saya pernah beraksi ketika di bawah kendaliannya semasa Piala Belia.

“Bermain formasi 3-4-3, saya ini umpama penyerang tunggal dan agak sukar tugas saya kerana berseorangan di atas, ini memang satu pengalaman baharu kepada saya,” katanya.

Diturunkan dalam sebelas perlawanan, penampilan bekas pemain Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS ini tidak begitu menghampakan biarpun masih belum menjaringkan sebarang jaringan apabila telah melakukan dua bantuan gol setakat ini.

Pemain berusia 32 tahun itu dijangka akan terus menjadi pertaruhan jika Darren masih belum pulih daripada kecederaan yang dialaminya semasa berdepan Kedah Darul Aman di perlawanan keempat Liga Super.

Dalam pada itu, Mahalli memberikan penghargaan kepada Maniam yang telah memberikan ruang baharu dalam kariernya selepas alami detik tidak menentu pada beberapa musim lalu.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana percaya serta kemampuan, dorongan yang telah dia berikan buatkan saya kini mampu beraksi konsisten dalam liga.

“PJ City adalah pasukan paling sesuai dengan saya dan langkah mereka menggunakan semua pemain tempatan, membuka ruang lebih banyak kepada pemain seperti saya untuk bermain.

“Menjelang baki saingan Liga Super, kami kena bekerja lebih berpasukan memandangkan semua lawan sudah mengkaji kekuatan serta kelemahan PJ City.

“Keputusan jurulatih untuk tidak menambah pemain baharu menunjukkan yang dia positif dengan kemampuan pemain sedia ada dan sekarang tugas kami sebagai pemain kena buat yang terbaik serta balas kepercayaannya,” katanya. – MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN