Ayam tambatan Tottenham Hotspur, Harry Kane mahu kelabnya memenangi trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan beliau percaya Spurs mampu untuk menamatkan penantian sejak sekian lama untuk merealisasikan impian tersebut.
Kane yang berjaya menghasilkan dua jaringan ketika menang 4-1 keatas Liverpool pada perlawanan pada Ahad lalu percaya Tottenham Hotspur mampu untuk meraih kejuaraan liga setelah aksi meyakinkan yang dipamerkan menentang kelab Merseyside itu.
Spurs semakin hampir untuk mendapatkan kejuaraan tersebut pada musim lalu namun dikecewakan oleh Chelsea bagi menamatkan saingan di tempat ke-2.
Bagi Harry Kane, yang turut mengintai gelaran penjaring terbanyak EPL bagi tahun ketiga berturut-turut, percaya pasukannya itu mampu untuk menamatkan penantian kejuaraan liga yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1961.
”Kami sangat hampir pada beberapa musim yang lalu untuk memenangi Liga Perdana Inggeris, diharapkan musim ini akan menjadi milik kami,” kata penyerang antarabangsa England itu.
”Kami sudah pasti mempunyai pasukan yang baik untuk untuk melakukannya (menjuarai liga), jadi seperti yang saya katakan, kami perlu bekerja keras dan melihat apa yang akan berlaku. Ianya boleh dilakukan, kami hanya perlu mengekalkan momentum dan persembahan yang baik ketika beraksi.”
”Kemenangan semalam (kelmarin) memberikan kami keyakinan yang hebat, berjaya menewaskan pasukan seperti Liverpool.”
”Perjalanan dalam liga masih panjang, kami sangat hampir pada beberapa musim yang lalu, diharapkan kami boleh melakukannya pada musim ini.”
Dalam pada itu, penyerang berusia 24 tahun itu turut optimis bahawa pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino dapat mengembangkan pasukannya itu ke tahap yang lebih tinggi dan menjadikan Spurs sebuah pasukan besar di dunia.
“Untuk memenangi trofi, menjadi salah satu pasukan terbaik di dunia dan salah seorang pemain terbaik di dunia,” kata Kane mengenai matlamatnya.
”Saya rasa kami mempunyai persediaan yang hebat untuk menjadi seperti itu dengan pengurus yang hebat dan pasukan yang hebat. Saya tidak sabar untuk melihatnya.”
Harry Kane kini sedang memimpin carta penjaring terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris setelah berjaya meledakkan 8 jaringan selepas berakhir 9 perlawanan.