Seorang staf barisan kejurulatihan England ketika Piala Dunia 2014 mendedahkan kepada Independent punca kepada kegagalan England, walaupun mereka belum lagi tiba di Brazil.
England memang bukanlah pasukan yang ampuh dalam kejohanan-kejohanan utama dan mereka juga dilabel sebagai pasukan yang acap kali ‘gagal’ di peringkat tertinggi.
Walaubagaimanapun, pemerhati bola sepak terus menerus berminat untuk mengikuti perkembangan pasukan ini. Mengapa? Kerana, England biasanya ada tarikan tersendiri.
Kekerapan kegagalan di peringkat tertinggi seperti di Piala Dunia perlu ditamatkan oleh mereka kali ini. Ayuh kita soroti mengenai punca kegagalan England di Afrika Selatan dan juga Brazil.
Isu kecil tapi impak yang besar
Tony Strudwick merupakan salah seorang staf kejurulatihan Roy Hodgson ketika Piala Dunia 2014. Dia percaya perkara kecil dan remeh telah menyumbang kepada kegagalan mereka.
Apakah perkara remeh dan kecil yang dimaksudkan oleh Strudwick? Bukankah England sentiasa ditakdirkan untuk gagal?
Tugasnya adalah menganalisa data pemain untuk mendapatkan yang terbaik dari mereka. Dan daripada analisanya, dia mendapati kesilapan asas telah dibuat oleh mereka di Rio de Janeiro.
Menurutnya, kegagalan perancangan aspek logistik di kem England didapati menjadi punca England tersingkir awal di Piala Dunia 2014. England terperosok di dasar Kumpulan D.
“Sebagai contoh, ini adalah kesilapan terbesar di Brazil, perjalanan dari pusat latihan ke hotel adalah lebih sejam satu arah, sehari. Ianya gila, dua jam hanya duduk di atas bas,” ujarnya.
Perjalanan dari hotel penginapan pemain di Sao Conrado ke pusat latihan mereka adalah sekitar 10 batu dan dengan keadaan trafik di sana, ia jelas satu perjalanan yang memenatkan.
Strudwick berharap England tidak lagi membuat kesilapan yang sama untuk edisi kali ini. Ia sebenarnya memberi perbezaan besar walaupun hanya dari aspek logistik pasukan.
Kawasan pilihan Southgate
Untuk edisi 2018, pengurus England, Gareth Southgate telah memilih sebuah bandar kecil di utara St Petersburg sebagai lokasi untuk skuadnya berkampung.
Bandar kecil yang terpencil berhampiran sempadan Rusia – Finland.
Hotel ForRestMix hanya memerlukan 2 minit perjalanan ke pusat media dan memakan masa 10 minit sahaja untuk ke pusat latihan England di Spartak Zelenogorsk.
Ia juga dikenali sebagai ‘Soviet sanatorium’ yang bermaksud pusat atau rumah rehat Soviet. Southgate dikatakan mahu para pemainnya mendapat lebih privasi.
Perjalanannya pula lebih santai diiringi pemandangan hutan pain di kawasan sekitar. Namun, adakalanya situasi sebegini boleh menyumbang pula kepada perasaan bosan.
“Bos inginkan lokasi yang tenang di mana mereka boleh berehat dan menikmati privasi mereka,” jelas sumber kepada Mirror.
“Walaubagaimanapun, ia ada kesan buruk juga kerana besar kemungkinan para pemain akhirnya akan merasa bosan.
Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan
Skuad Piala Dunia England di Afrika Selatan mungkin memahami apa itu erti bosan ketika beraksi di kejohanan tersebut. Ketika itu, mereka dibimbing oleh Fabio Capello.
Skuad England berkampung di kemudahan yang dibina khas untuk mereka di Rustenburg. Pada edisi itu, mereka tersingkir di pusingan kedua, tewas 1-4 kepada Jerman.
Bercakap kepada ESPN, salah seorang pemain The Three Lions, Jermain Defoe mengatakan yang dia dan Wayne Rooney terpaksa menonton DVD perkahwinannya akibat terlalu bosan.
“Ketika di Afrika Selatan, saya masih ingat pada satu malam, saya sangat bosan, jadi saya dan Rooney duduk di biliknya menonton keseluruhan DVD perkahwinan,” ujar Defoe.
“Ya, anda bosan tetapi keseluruhan pasukan juga bosan,” tambahnya lagi sambil menyifatkan ia bagus dari segi dapat meluangkan masa bersama rakan sepasukan.
Bagi John Terry pula, bercakap kepada The Guardian, dia menjelaskan memang banyak yang boleh dilakukan di sekitar pusat itu seperti bermain dart, snuker dan sebagainya.
“Tetapi kebosanan tetap akan dirasai. Ia adalah enam ke tujuh jam sehingga kami berkumpul semula untuk makan malam,” jelas Terry mengenai kehidupannya di kem England.
Biarpun Defoe dan Terry bermadah bahawa lokasi mereka membosankan, tetapi Sepanyol turut berkampung di sekitar kawasan yang sama dan mereka adalah juara pada edisi tersebut.
Pemain juga manusia
Menurut Strudwick, bosan juga adalah salah satu isu. Pengurus perlu beri ruang masa buat para pemain mereka untuk mendapatkan yang terbaik dari mereka.
Pemain juga manusia, mereka ada masa terbaik dan ada masa buruknya. Dan dalam satu-satu pasukan akan ada pelbagai jenis manusia yang dikumpulkan bersama-sama.
Jadi, secara holistiknya, untuk melangkah lebih jauh dalam sebarang kejohanan, ia memerlukan kecekapan pengurusan pasukan dan juga pengurusan manusia.
“Ia adalah cabaran yang sangat besar. Saya fikir ia adalah satu seni dan sains jadi anda perlu menggunakan sebanyak mungkin ilmu dalam proses membuat keputusan,” jelas Strudwick.
“Ia adalah teknik bagaimana anda ‘mengahwinkan’ segala maklumat dengan pembuat keputusan. Ianya sedikit kritikal dan ada seni di dalamnya,” tambahnya lagi.
Penutup
Apa jua alasan, England wajar menamatkan badi mereka pada edisi kali ini. Mereka bukan ‘generasi emas’ seperti di era David Beckham dan rakan-rakannya, namun mereka ada kualiti tersendiri.
Dan dengan kepimpinan ‘Mr Nice Guy’ Gareth Southgate, The Three Lions dirasakan mampu memberi saingan lebih berkualiti kepada pasukan-pasukan lawan.
Walaupun mungkin tidak bergelar juara, sekurang-kurangnya mereka memberi cabaran lebih berkualiti dan memberi kepuasan kepada para penyokong mereka.