Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos memberikan tamparan buat kelab Eropah yang berbelanja besar dengan menyifatkan bahawa wang tidak boleh untuk membeli kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.
Dua juara liga domestik musim ini, Paris Saint-Germain (Perancis) dan Manchester City (England) sudah semestinya antara kelab yang menjadi sasaran kata-kata pemain kelahiran Griefswald, Jerman itu.
Kedua-dua kelab yang berbelanja besar itu tersingkir dari persaingan merebut piala berprestij itu selepas PSG kecewa ditangan Real Madrid pada peringkat 16 terbaik manakala Manchester City tewas ditangan Liverpool pada aksi suku akhir.
Toni Kroos telah menikmati kejuaraan berturut-turut Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid pada musim 2015/16 dan 2016/17.
Beliau turut membantu Bayern Munich muncul juara treble pada musim 2012/13 yang ketika itu skuad Bavaria tersebut menewaskan Borussia Dortmund di perlawanan akhir.
”Anda tidak boleh membeli trofi Liga Juara-Juara Eropah. Jika demikian, kami tidak akan memenanginya dengan banyak,” jelas Kroos ketika sidang media.
”Ia istimewa buat pasukan seperti Real Madrid. Kami mempunyai pemain-pemain yang berada dalam keadaan bermain di tahap tinggi. Jika anda mempunyai ramai pemain dengan pengalaman seperti itu, ketika detik sukar, anda tahu apa yang perlu dilakukan. Itu yang membawa anda sejauh ini.”
”Ini merupakan peluang terakhir kami untuk memenangi gelaran musim ini. Ianya sama seperti dua tahun lalu dan kami berjaya melakukan di akhirnya. Kami sangat bermotivasi, memenangi tiga tahun berturut-turut adalah sesuatu yang unik,” tambah Kroos lagi.
”Kami menghadapi PSG pada pusingan kedua dan Juve pada peringkat suku akhir. Ianya bukan jalan yang mudah.”
Real Madrid yang berkunjung ke Allianz Arena bakal membuat perhitungan pertama bertemu Bayern Munich pada awal pagi esok.
Rekod pertemuan selepas 24 perlawanan buat kedua-dua pasukan kelihatan cukup seimbang dengan Bayern Munich menang 11 perlawanan, begitu juga Real Madrid dan dua keputusan seri dicatatkan.