Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner mahu para peminat kelab tersebut untuk berpijak di bumi yang nyata mengenai keadaan semasa pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.
Terdahulu, beberapa kritikan diberi oleh segelintir peminat di media sosial yang mahu perubahan lebih positif dilakar oleh Sang Penyu terutama membabitkan keputusan serta corak permainan ditampilkan.
Kritikan itu mula timbul selepas Steinbruckner gagal untuk memastikan Terengganu mara ke pentas akhir Piala FA musim ini apabila mereka terkandas di di pusingan separuh akhir kepada Selangor.
Tampil dengan beberapa rombakan musim ini, ramai mengharapkan pengendali dari Croatia itu mampu mencipta perubahan lebih baik selepas mereka dianggap sangat bagus pada tahun lalu menerusi sentuhan beliau.
Melihat kepada beberapa siri kekecewaan peminat kepada kelab, Steinbruckner hadir memberi nasihat supaya para peminat berpijak di bumi nyata mengenai keadaan semasa Terengganu.
Pada pandangan Steinbruckner, tidak semua harapan diletakkan oleh peminat sebenarnya mampu dilaksanakan oleh beliau bersama para pemain ketika ini.
“Kami tewas di tempat lawan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, selebihnya keputusan setakat ini agak bagus. Tetapi saya tahu orang kecewa sebab kita hampir ke final (Piala FA).
“Semua orang mahu lihat kami ke Bukit Jalil, ada juga yang mengharapkan kami seperti Manchester City tetapi (hakikatnya) tidak boleh,” katanya menerusi perkongsian dibuat oleh KOSMO.
Pada masa sama, Steinbruckner akui sangat gembira selepas pasukannya itu meraih kemenangan terbaharu dalam aksi Liga Super dengan menjadikan Kuala Lumpur City (KL City) selaku mangsa seterusnya.
Dua jaringan menerusi Manuel Ott dan bintang Malaysia iaitu Safawi Rasid sudah cukup untuk mengesahkan tiga mata terbaharu buat Terengganu sekali gus mampu memberi kegembiraan buat peminat.
“Saya gembira sebab memang perlawanan ini sukar terutamanya selepas kami kalah dalam aksi lepas. Kami juga tahu KL City adalah pasukan yang bagus kerana sebelum ini pun mereka pernah tewaskan Selangor.
“Kami lakukan persiapan dan memang kami berhak untuk dapatkan tiga mata. Tiada rungutan yang boleh diberikan atas kemenangan kami kali ini,” katanya lagi.
Aksi seterusnya menyaksikan Sang Penyu bakal menghadapi cabaran Sri Pahang pada Jumaat akan datang di laman sendiri dalam misi untuk mendapatkan tiga mata penting.