Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner jelas mahu Terengganu menampilkan aksi lebih agresif serta menyudahkan setiap peluang untuk perlawanan pertama separuh akhir Piala FA 2024/2025 berdepan Selangor.
Terdahulu, Terengganu menjadi antara pasukan yang menepati ramalan ramai pemerhati bola sepak tempatan untuk melayakkan diri ke pentas separuh akhir setelah mengetepikan cabaran Sabah.
Hadir dengan reputasi cukup baik sejak tahun lalu, sudah tentu Steinbruckner ingin mempertahankannya untuk saingan musim ini dengan beberapa perubahan dibuat.
Malah aksi bertemu Selangor di pentas separuh akhir ini wajar digunakan Steinbruckner sebaik mungkin untuk melihat keupayaan sebenar mereka berdepan salah satu kelab terkuat Malaysia kini.
Keupayaan serangan mereka untuk meledak tujuh gol dalam dua perlawanan lepas bertemu Sabah pastinya menjadi aset terbaik buat Sang Penyu untuk memburu seberapa banyak jaringan pada aksi menentang skuad kendalian Nidzam Jamil.
Lebih menarik, Sang Penyu juga memiliki kelebihan di laman sendiri pada aksi hari ini iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) untuk cuba mengetepikan cabaran besar Selangor sebelum bertandang ke gelanggang lawan.
Menurut Steinbruckner, jaringan awal pada aksi hari ini sebenarnya mampu untuk menaikkan moral serta motivasi para pemain untuk beraksi lebih baik serta mengelak daripada isu tekanan di atas padang.
“Jika berpeluang, pemain perlu meledak seberapa banyak jaringan sebagai bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di tempat lawan pada 3 Ogos depan dalam misi mara ke final selepas terkandas pada peringkat separuh akhir saingan sama musim lalu kepada KL City FC.
“Dengan prestasi semasa dan motivasi yang tinggi pemain selepas membenam cabaran Sabah FC dengan agregat 7-0 pada aksi suku akhir, saya percaya anak buah mampu menyajikan persembahan terbaik mereka.
“Pada masa sama sokongan padu daripada peminat setia yang pasti membanjiri stadium bakal menambah lagi motivasi pemain untuk berjuang dalam aksi penting itu,” kata Steinbruckner menerusi perkongsian Berita Harian.
Selain itu, Steinbruckner sendiri mengakui belum memutuskan penjaga gol utama untuk aksi bertemu Selangor kerana masing-masing mempamerkan prestasi semasa cukup bagus dalam sesi latihan.
“Bagaimanapun kemungkinan besar Syed Muhammad Nasrulhaq yang beraksi cemerlang pada aksi suku akhir berdepan Sabah FC bakal diberikan peranan sekali lagi dalam kesebelasan utama pasukan.
“Pertahanan import, Mathew Steenvoorden yang baharu kali pertama beraksi pada musim ini ketika aksi suku akhir kedua di Likas bakal disenaraikan dalam pasukan,” katanya akhir sekali.