Penang FC berjaya menewaskan Melaka United 2-1 dalam aksi ketujuh Liga Super 2021 dan Tomas Trucha boleh kembali tersenyum dan gembira, malam tadi.
Jika sebelum ini, menang 2-1 ke atas Perak FC di Stadium Bandaraya, Tomas Trucha menyatakan beliau kurang gembira dengan apa yang ditampilkan oleh barisan pemain yang diturunkannya, namun barisan pemain yang sama tetap dipertaruhkannya.
Kegagalan para pemainnya untuk bermain baik secara berpasukan menjadi punca utama ketidakpuasan hatinya tetapi untuk aksi malam tadi, beliau jelas berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh pemain yang diturunkan berdepan Melaka United.
Ujarnya dalam sidang media, “Kemenangan sebelum ini, saya katakan kepada pemain yang saya tidak mahu meraikannya kerana kami tidak bermain dengan baik.”
Penang FC Menang, Tapi Tomas Trucha Tak Gembira https://t.co/23TVoIPcO2
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 4, 2021
“Perbezaan perlawanan berdepan Perak dan perlawanan ini adalah mereka berjuang. Walaupun kita ada memberi lawan sepakan percuma dan penjuru, tetapi bermula di minit ke-20 sehingga ke penghujung aksi babak pertama, mereka telah bermain, berjuang dan menunjukkan mereka sangat inginkan kemenangan,” jelasnya.
Walaupun dilihat mereka beraksi goyah sebagaimana seperti berdepan Perak, Tomas Trucha tetap menghargai apa yang telah dipamerkan oleh pemain Penang.
Khairul Fahmi yang menjadi penonton mula diuji selepas 15 minit aksi berlangsung apabila Penang datang ke gawangnya dengan tandukkan Sheriddin Boboev dan rembatan lemah Al-Hafiz Harun yang berjaya ditangkap kemas Khairul Fahmi.
Sehinggalah ke minit ke-39, Casagrande akhirnya meledak jaringan pembukaan pelawat menerusi sentuhan mudah di depan gawang tuan rumah selepas menerima bola yang terlebih dahulu ditanduk tipis oleh Sheriddin Boboev kepadanya.
📹 HIGHLIGHTS: @MelakaUnitedFC 1-2 @fa_penang
Dua jaringan Casagrande memastikan Penang FC meraih kemenangan ketiga berturut-turut. Gol Melaka United FC dijaringkan oleh pemain gantian, Stefan Nikolic.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/I8ZoBf8hTZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 7, 2021
Empat minit babak kedua bermula, Penang berjaya meledak jaringan kedua dan sekali lagi Casagrande berjaya mencetak gol. Ia selepas lambungan Al-Hafiz Harun ditanduk tipis Sheriddin Boboev ke depan gawang sebelum disentuh mudah Casagrande.
“Apa yang boleh saya katakan, sikap, keinginan, hati yang kuat dan mereka berjuang untuk keluarga Penang, saya gembira dengan kemenangan ini,” tambahnya lagi.
Ditanyakan adakah kemenangan pada malam tadi berpunca daripada prestasi skuad Hang Tuah yang serba tidak menjadi dalam beberapa perlawanan setakat ini, beliau jelas tidak bersetuju, malah berkata yang lawan bermain dengan sangat baik.
“Tidak [setuju]. Melaka bermain dengan sangat baik. Secara jujurnya, mereka tidak sepatutnya kalah. Cuma, penjaga gol kami telah beraksi dengan lebih baik,” ulas Tomas Trucha yang masih belum mahu melihat kepada aksi berdepan Sabah.
Penang ketika ini berada di kedudukan ke-3 Liga Super dengan 14 mata, hanya tiga mata dibezakan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan mereka juga dalam momentum terbaik dengan lima perlawanan tanpa kekalahan.
KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC
Baca lagi artikel lain mengenai Tomas Trucha dan Penang FC:
Endrick Dos Santos ‘Rehat’ Panjang, Penang FC Masih Ada Danial Ashraf
Tomas Trucha Beri Pandangan, Adakah Ini Perlawanan Terbaik Penang FC?