Quantcast

BERITA

Tolak Tawaran Terbaru, Zola Bakal Ikut Jejak Langkah Sarri Tinggalkan Chelsea

Berikutan pengumuman rasmi Maurizio Sarri telah meninggalkan Chelsea untuk menyertai Juventus, Giafranco Zola dilaporkan turut akan mengambil langkah yang sama apabila kontrak beliau selaku pembantu jurulatih di kelab London itu bakal tamat dalam tempoh terdekat.

Jurulatih berusia 52 tahun itu dianggap sebagai legenda di Stamford Bridge setelah pernah menyarung jersi Chelsea diantara tahun 1996 sehingga 2003.

Bekas pemain antarabangsa Itali itu kembali menyertai Chelsea pada musim panas lalu selepas menandatangani kontrak selama setahun sebagai anggota kejurulatihan di bawah kendalian Maurizio Sarri.

Tawaran lain

Zola yang pernah membantu Chelsea muncul juara Piala FA pada musim 1996/97 dan 1999/00 dikatakan telah ditawarkan jawatan lain sebagai duta kelab oleh pengurusan di Stamford Brudge.

Namun Zola dikatakan menolak idea tersebut kerana masih berminat untuk menceburkan diri di dalam bidang kejurulatihan bola sepak.

Salah satu spekulasi mengenai destinasi Zola yang seterusnya ialah untuk mengikuti Sarri ke Juventus. Namun, beliau dikatakan masih berminat untuk kekal di England dan kini sedang mengintai peluang bersama kelab-kelab lain di Liga Inggeris.

Lampard jadi pilihan

Laporan dari England mengatakan bekas pemain, Frank Lampard adalah pilihan utama untuk menggantikan Sarri sebagai pengurus Chelsea yang baharu – di sebalik segala usaha untuk Derby County mengekalkan pengurus muda itu.


Lampard cemerlang bersama Derby County di Championship pada musim lalu setelah berjaya membawa The Rams ke perlawanan akhir play-off sebelum dikecewakan oleh Aston Villa.

Seorang lagi bekas pemain Chelsea, Jody Morris pula dikatakan akan dilantik selaku pembantu sekiranya Lampard bersetuju kembali ke pangkuan The Blues.