TMJ: “Pingat Emas Sukan SEA Adalah Sasaran, Tetapi Semua Pihak Harus Realistik!”

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail (TMJ) memberitahu, baginda meletakkan sasaran pingat emas untuk acara bola sepak dalam temasya Sukan SEA yang akan bermula minggu hadapan.

Baginda turut berkongsi pengalaman baginda sepanjang terlibat aktif di dalam bola sepak. Sikap realistik amatlah penting. Jadi, tiada isu untuk menghukum (memecat) Datuk Ong Kim Swee sekiranya beliau gagal membantu skuad negara meraih emas.

Ini kerana, FAM akan cuba menghormati kontrak yang ada di antara mereka dengan Datuk Ong Kim Swee. Dipetik dari sumber Utusan Online, TMJ berkata:

“Bola sepak mengajar saya (supaya bersikap) realistik. Biarlah kita sasarkan yang tertinggi hingga ke bintang kerana kalau jatuh pun, sekurang-kurangnya (masih) di bulan.”

“Bagi saya 50 peratus itu lebih baik daripada 100 peratus tiada apa-apa langsung.”

“Sudah tentu ada KPI (indeks prestasi utama) dalam Sukan SEA ini dan sebagai tuan rumah, kita pastinya tidak mahu tersingkir awal tetapi saya tidak akan hukum (pasukan) terlalu awal, kontrak jurulatih berdasarkan keputusan temasya itu pun bukan isunya.”

“Jika pasukan dapat membanggakan negara dan tunjukkan permainan bagus, adalah sedikit ganjaran untuk mereka. Harap-harapnya pihak lain pun berilah sedikit,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Baginda tururt memberikan kata-kata semangat kepada pemain-pemain bola sepak negara yang terlibat di dalam temasya itu nanti.

Kredit Foto: FAM

“Peluang bukanlah beban tetapi itu rezeki. Berbanggalah dapat menyarung jersi pasukan kebangsaan. Ini satu penghormatan tinggi dan cita-cita semua rakyat untuk berkhidmat dan menyumbang kepada negara.”

“Anda ada peluang cerah sebagai tuan rumah untuk mendapatkan pingat emas kerana pencapaian ini bakal selama-lamanya berada dalam ingatan anda sebagai individu yang membanggakan keluarga hingga kepada anak cucu anda.”

“Berikanlah yang terbaik demi bendera dan lambang di dada anda. Saya akan sentiasa menyokong anda dan marilah bersama-sama kita mencipta sejarah. Selamat berjaya.”

Baginda tidak mahu para pemain terlalu tertekan di dalam padang. Ia akan membuatkan pemain takut untuk melakukan kesilapan. Apabila hal itu berlaku, ianya sudah pasti menghalang pemain untuk beraksi lebih kreatif.

Menjawab isu penjadualan liga yang tidak komprehensif, beginda juga tumpang bersedih kerana ia memberikan impak kepada kem B-22 tahun kebangsaan.

Sebelum ini, beberapa pemain tidak dilepaskan oleh pasukan untuk kempen kelayakan Piala Asia B-22. Seterusnya, FMLLP bertindak menangguhkan liga pada Ogos kerana memberikan laluan kepada skuad bola sepak Sukan SEA.

“Saya jujur mengakui ada pasukan termasuk pasukan saya (JDT) yang tidak dapat melepaskan pemain (ketika Kelayakan Kejohanan Bawah 23 AFC, bulan lalu) tetapi saya ada alasan kuat me­ngenainya.

“Kita kena kaji balik jadual liga kita yang terlalu banyak cuti. Kita satu-satunya negara di dunia yang menghentikan liga kerana pertandingan belia (Sukan SEA).”

“Di negara-negara Arab dalam Ramadan pun mereka masih teruskan liga.”

“Kadang-kadang pintu perpindahan kita pun tidak selari dengan liga Eropah atau Amerika Selatan (jadi) bila nak tukar pemain yang berkualiti pun tiada banyak pilihan yang tinggal di sana.”

“Kita tidak mahu perkara sebegini berulang pada masa depan.”

Menjawab tentang sikap FAM yang dilihat lebih mengutamakan kejohanan rantau Asia Tenggara (Sukan SEA) berbanding dengan kejohanan Asia (AFC B-22), TMJ menjelaskan:

“Semua pertan­dingan yang kita sertai itu pen­ting tetapi sekarang kita fokus segenap tenaga kepada Sukan SEA dan apabila tiba masanya (pusi­ngan akhir) AFC di China (2018), kita buat satu persatu pada satu-satu masa.”

Selamat berjaya untuk skuad bola sepak Sukan SEA 2017, Harimau Malaya!

Sumber

Utusan Online – http://m.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tmj-sasarkan-pingat-emas-1.511956

Leave a Reply