Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas sikap pengurusan pasukan-pasukan Liga Malaysia yang tidak memandang serius untuk melakukan perubahan seiring kehendak badan pentadbir bola sepak negara itu.
Melalui satu muat naik yang dikongsikan semalam, baginda berkata perbincangan mengenai kemudahan bola sepak di dalam negara sudah dibicarakan sejak bertahun-tahun yang lalu.
Sebagai permulaan, MFL mahukan jenis rumput dan padang di stadium yang digunakan di setiap stadium diperbaiki, untuk memastikan perlawanan bermutu tinggi mampu dihasilkan.
Mengambil kira apa yang telah dilakukan oleh negara jiran seperti di Thailand dan Indonesia, TMJ berpendapat perkara tersebut sepatutnya tidak menjadi masalah untuk dilaksanakan di dalam negara.
Malangnya ia hanya setakat perbincangan tanpa sebarang tindakan pro aktif dari persatuan-persatuan terbabit, selain daripada alasan yang diberikan untuk menangguh setiap proses kerja.
Untuk itu, Liga Bola Sepak Malysia (MFL) sedang berusaha untuk mewujudkan peraturan yang lebih ketat pada masa hadapan.
“Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sedang berusaha untuk memperkenalkan peraturan yang lebih ketat untuk padang bola sepak, termasuk jenis rumput, sebagai permulaan untuk mendapatkan kemudahan fasiliti yang lebih baik di negara ini, seperti bagaimana ia dilaksanakan di Thailand dan baru-baru ini Indonesia.
“Padang bola sepak adalah perkara penting untuk memastikan permainan dapat dimainkan pada standard yang tinggi, dan ianya harus menjadi keutamaan bagi semua kelab,” ujar baginda dalam kenyataan tersebut.
Baginda juga meluahkan perasaan kecewa kerana alasan dan juga proses birokrasi yang perlu dilalui untuk melaksanakan perubahan tersebut pada kadar segera.
“Walau bagaimanapun pasukan-pasukan kelihatan tidak bersedia untuk perubahan ini, memberikan alasan seperti stadium dimiliki oleh kerajaan negeri dan untuk melaksanakan perubahan, kerajaan negeri dikehendaki melalui proses tender yang mengambil masa yang terlalu lama.
“Inilah masalah apabila stadium dimiliki oleh kerajaan negeri. Kami adalah satu-satunya liga di dunia di mana MFL perlu mengeluarkan dana untuk penjagaan padang.
“MFL boleh memperuntukkan dana tetapi pasukan tidak dapat bertindak dengan segera kerana ia masih perlu melalui pelbagai karenah birokrasi,” jelas baginda lagi.
Selain daripada padang stadium yang tidak menepati piawai sepatutnya, TMJ turut meluahkan kekecewaan terhadap persatuan-persatuan yang gagal menyediakan padang latihan sendiri.
“Sesetengah pasukan langsung tidak mempunyai padang latihan sendiri dan bergantung kepada padang awam.
“Pemain kemudiannya perlu mandi dari paip biasa dan bukannya tempat mandian sepatutnya. Pemain dibiarkan menukar persalinan pakaian mereka di kawasan terbuka,” ujar baginda.
Mengakui ramai yang mahukan perubahan berlaku di dalam bola sepak negara, TMJ akui perkara itu hanya sekadar percakapan tanpa sebarang tindakan daripada pihak berwajib.
“Mentaliti sebegini tidak setaraf dengan kejayaan yang diinginkan. Di sini kami (MFL) cuba melakukan perubahan tetapi tiada siapa yang mahu melaksanakan atau bertindak,” ujar baginda lagi.