Perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2017 tempoh hari nyata antara perlawanan akhir yang cukup menghiburkan bagi semua pihak terutamanya pihak neutral.
Ia juga diperakui oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai salah satu perlawanan akhir yang cukup menarik.
“Ucapan tahniah sekali lagi kepada pasukan Kedah yang menjadi juara Piala FA dan juga Pahang yang bergelar naib juara untuk musim ini.”
Perlawanan itu juga menyaksikan kehadiran 3 kerabat diraja dari 3 negeri – Pahang, Kedah dan Johor
“Menariknya, perlawanan akhir ini turut dihadiri oleh tiga Kerabat Diraja iaitu dari Kedah, Johor dan juga Pahang.”
Mana pak menteri?
Namun begitu, TMJ dalam kemaskini terbaharu di laman JOHOR Southern Tigers mempersoal Menteri Belia & Sukan -Khairy Jamaluddin.
Khairy tidak hadir pada perlawanan akhir yang dilangsungkan di Stadium Shah Alam tempoh hari.
“Di dalam perlawanan melibatkan sukan utamatanah air ini, ramai tertanya-tanya di manakah Menteri Belia dan Sukan?”
“Bagi pendapat saya, beliau sepatutnya antara individu penting yang sepatutnya turut hadir menyaksikan salah satu perlawanan bersejarah ini.”
Khairy dikatakan tidak hadir pada perlawanan epik tersebut kerana menghadiri program askar wataniah yang dilangsungkan pada masa yang sama perlawanan itu diadakan.
“Sekiranya program Askar Wataniah lebih menjadi keutamaan, adalah lebih baik beliau menjadi askar wataniah daripada menjadi Menteri Belia dan Sukan.”
Bagi TMJ, Khairy hanya pergi ke majlis yang menjadikan beliau sebagai tumpuan utama dan kerana itu beliau memilih untuk tidak ke Shah Alam pada malam tersebut.
“Janganlah hanya memilih untuk pergi ke aturcara yang anda pasti akan menjadi tumpuan majlis tetapi apabila sebaliknya, tidak mahu pergi kerana sudah tahu anda tidak menjadi tumpuan.”
“Apabila anda telah menjadi seorang menteri atau ahli politik, yang sebetulnya adalah mengenai berkhidmat kepada rakyat dan institusi negara, bukan berkhidmat untuk kepentingan diri sendiri.”
“Kalau setakat mahu menjadi popular, lebih baik menjadi selebriti, bukannya memegang jawatan sebagai seorang menteri atau ahli politik.”
Di akhir penulisan, TMJ sempat ‘menembak’ anggota Pemuda yang berkemungkinan ahli gerakan pemuda bagi parti politik yang diwakili Khairy.
“Dan kepada wakil-wakil Pemuda, keutamaan tugas anda adalah turun padang dan berkhidmat kepada rakyat, bukannya mengira berapa banyak ‘followers’ di laman media sosial.”