Sebentar tadi, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ataupun TMJ memberikan gambaran yang baginda sudah sedia untuk melepaskan jawatan baginda di dalam FAM.
Dalam kenyataan rasmi baginda di JST, baginda menyatakan:
“Sepanjang saya menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik para penaja untuk menyumbang kepada bola sepak negara dan menyediakan pelan jangka panjang untuk bola sepak negara seperti melakukan kerjasama bersama La Liga.”
“Saya juga telah memperjuangkan hak penyiaran untuk kesemua pasukan bertanding di Liga Malaysia bagi meningkatkan kestabilan kewangan.”
Sejarah baru penyiaran Liga M
“Ini adalah satu sejarah dalam bola sepak tanah air apabila buat pertama kalinya setiap pasukan bertanding telah menerima sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran.”
“Di mana setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada Kerajaan.”
Baginda bangga dengan kejayaan pasukan B-23 dan pasukan remaja yang melakar sejarah manis ketika baginda menjadi Presiden FAM.
“Dalam pada itu, skuad B23, B19 dan B16 telah berjaya melakar sejarah buat pertama kalinya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia.”
Baginda juga dukacita dengan kemerosotan ranking pasukan Malaysia sebentar tadi. Malaysia jatuh ke kedudukan paling rendah dalam sejarah.
Namun harus diingat, hanya 2 perlawanan antarabangsa yang signifikan dalam kalendar FIFA dalam beberapa bulan ini dan tidak melibatkan pasukan Malaysia.
“Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh 3 anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar! Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan.”
“Terima kasih untuk segala galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bolasepak Malaysia. Selamat maju jaya.”
Pulang ke JDT sepenuh masa?
Baginda membayangkan yang masa baginda di FAM sudah tiba ke penghujung dan tiba masanya untuk baginda fokus semula kepada JDT.
Lebih penting adalah isteri dan permaisuri baginda yang akan lebih banyak masa dengan baginda selepas ini.
“Kepada seluruh Bangsa Johor yang saya sayangi dan juga kepada para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di seluruh dunia serta isteri dan anak-anak saya… Daddy’s home!”
TMJ menjadi Presiden FAM pada 25 Mac lalu. 10 hari lagi adalah ulangtahun pertama baginda sebagai Presiden FAM.