Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan rasa kesal dan memohon maaf kepada penaja yang menyumbang kepada Liga Malaysia pada musim ini.
Baginda bertitah sedemikian setelah dimaklumkan bahawa pihak FMLLP akan memotong mata dan memberikan hukuman kepada persatuan-persatuan yang tidak melengkapkan dokumen-dokumen pendaftaran pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.
Kenyataan oleh Presiden FAM tersebut dimuatnaik ke dalam laman media sosial Facebook JOHOR Southern Tigers pada petang tadi.
“Saya telah dimaklumkan bahawa pihak FMLLP akan memotong mata dan memberikan hukuman kepada persatuan-persatuan yang tidak melengkapkan dokumen-dokumen pendaftaran pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.”
“Saya memahami tindakan FMLLP ini adalah untuk memastikan liga ini berjalan secara profesional dan mahu menunjukkan kepada para penaja yang terdapat permintaan tinggi untuk menjadikan liga ini profesional,” ujar Baginda dalam kenyataan tersebut.
Walau bagaimanapun selaku pemilik kelab bola sepak JDT, Baginda kurang bersetuju dengan langkah FMLLP itu kerana ia akan mewujudkan spekulasi daripada mereka yang kurang bijak yang menyatakan Baginda atau Kelab Bolasepak JDT ingin mensabotaj pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia.
Oleh kerana itu, Presiden FAM tersebut menyarankan agar pihak FMLLP membiarkan sahaja perkara tersebut, agar pihak penaja mampu melihat sendiri mengapa bola sepak Malaysia sukar untuk maju atau pun melakukan penambahbaikkan.
Kenyataan tersebut sebenarnya dilihat sebagai sindiran sinis oleh TMJ selaku Presiden FAM terhadap pihak yang sering berprasangka buruk terhadap segala usaha untuk melakukan penambahbaikkan terhadap bola sepak negara, terutama sejak Baginda mengambil alih teraju badan induk bola sepak negara.
Di dalam kenyataan yang sama, Baginda turut membidas mentaliti sebahagian penyokong bola sepak di Malaysia yang gagal memahami perubahan, dan peraturan yang dilaksanakan.
“Bukan sahaja mengenai persatuan yang tidak profesional tetapi juga mentaliti para penyokong bola sepak tanah air.”
“Walaupun informasi, ‘timeline’, penerangan berkait cara keputusan di buat dan dokumen-dokumen diperlukan telah dikongsikan pihak FMLLP tetapi para penyokong bola sepak tanah air masih tidak faham lagi, saya hanya boleh ucapkan selamat maju jaya,” ujar Baginda di dalam kenyataan tersebut.
“Inilah jawapan mengapa bola sepak Malaysia tidak boleh berkembang ke arah profesional, di mana ia disebabkan oleh mentaliti dan sikap yang kuno,” tambah Baginda lagi menutup kenyataan tersebut.
Antara perubahan yang dibawa oleh DYAM TMJ untuk saingan Liga Malaysia 2018 ialah seperti mendapatkan hak penyiaran yang membenarkan Liga Malaysia mendapat sehingga RM300 juta sepanjang tempoh perjanjian.
Selain daripada kerjasama dengan iflix, TMJ turut berjaya memeterai perjanjian selama 8 tahun bersama Telekom Malaysia (TM) melalui jenama unifi syarikat telekomunikasi berkenaan dengan tajaan bernilai RM480 million