Esok akan berlangsungnya Kongres Tahunan Football Malaysia LLP (FMLLP), dan akan diadakan di Johor Bahru.
Kebetulan atau tidak, esok juga merupakan tempoh genap setahun DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun lalu.
TMJ diumumkan sebagai Presiden FAM di Kongres Ke-53 FAM yang diadakan genap setahun yang lalu setelah menang tanpa bertanding untuk jawatan tertinggi badan bola sepak negara itu.
Namun di sebalik Kongres Tahunan FMLLP esok, antara perkara tumpuan yang menjadi perhatian ramai ialah sama ada baginda akan membuat pusingan U untuk menarik balik perletakkan jawatan yang diumumkan kira-kira seminggu yang lalu.
Bagi Kamarudin Abdullah yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, TMJ harus menilai kembali rayuan semua pihak untuk melihat baginda teru kekal bersama FAM.
Oleh itu, Kamarudin percaya TMJ akan kekal memegang jawatan sebagai Presiden FAM, apatah lagi masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh baginda untuk mencapai misi mengubah landskap bola sepak negara
Bercakap kepada media seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro, Kamarudin berkata:
“Saya jangka TMJ kekal (sebagai Presiden FAM). Malah, dari segi rasionalnya terlalu awal untuk beliau letak jawatan, baru setahun, jika sudah satu penggal lain cerita.
“Banyak pihak yang mahu dia kekal, beliau pasti akan nilai semua itu sebaik mungkin. Cuma sekarang beliau perlu sabar dan jangan terlalu melayan kritikan tidak munasabah, khususnya di media sosial.
“Presiden adalah orang penting, bukan macam exco biasa dan kita tidak boleh lari daripada dikritik. Jadi, mana kritikan yang baik itu boleh diambil sebagai iktibar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Keputusan oleh TMJ untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM pada 15 Mac yang lalu setelah ranking skuad negara di dalam senarai kedudukan FIFA terus jatuh sehingga tangga ke-178 dunia.
Bagaimanapun hasrat baginda mendapat respon negatif daripada pelbagai pihak terutama dari barisan EXCO FAM, AFC, FIFA dan persatuan-persatuan bola sepak negeri yang masih menagih kepimpinan baginda.