Pemilik skuad Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang lebih popular dengan panggilan TMJ berkongsi formula kejayaan JDT menerusi laman JST.
Menurut TMJ, di JDT mereka menggunakan formula Winston Churchill dalam usaha mereka mencapai matlamat dan cita-cita.
Sejak 2013, JDT telah mengorak langkah. Dalam tempoh tersebut TMJ meluahkan pandangan bahawa, yang menuduh JDT tidak profesional hanyalah orang tempatan. Sebaliknya, di peringkat antarabangsa, JDT telah banyak diberikan pengiktirafan.
TMJ berkata: “Dari 2013 hingga ke hari ini, saya hanya mendengar orang tempatan sahaja yang mengatakan JDT tidak profesional, sedangkan anda boleh melihat rekod di mana kami telah diberikan banyak pengiktirafan dari industri bola sepak antarabangsa.”
“Kejayaan di dalam dan di luar padang – dari sudut kejuaraan, kemudahan fasiliti dan komersial. Kejayaan domestik dan antarabangsa. Lihat juga ranking kelab antarabangsa. Hanya orang yang kurang cerdik sahaja masih tidak boleh terima fakta dan kenyataan.”
“Kami mencapai kejayaan ini dengan satu formula. Saya gelar ianya formula ‘Winston Churchill’ di mana kami diinspirasi oleh petikan ayat beliau: ‘Anda tidak akan sampai ke destinasi tujuan anda jikalau anda melempar batu ke setiap anjing yang menyalak’.”
“Itulah sebabnya meski apa jua kebencian dan kata-kata yang dilemparkan kepada kami, kami berada di mana kami berada hari ini.”
Sebagai rekod JDT menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Malaysia menjuarai 6 kejuaraan liga berturut-turut. Mereka juga pasukan Malaysia pertama yang beraksi di Liga Juara-Juara AFC.