Melalui satu muat naik melalui laman media sosial kelab bola sepak JDT iaitu JOHOR Southern Tigers, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan rasa bangga baginda terhadap prestasi yang ditampilkan oleh pemain-pemain JDT yang berada di dalam skuad Harimau Malaya di kejohanan Piala AFF Suzuki 2018.
Turut tidak berselindung, baginda juga meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian keseluruhan pasukan dalam pertandingan peringkat serantau itu setakat ini.
Pasukan negara kendalian Tan Cheng Hoe ketinggalan 2-0 kepada Vietnam di perlawanan akhir pertama yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi.
Namun berbekalkan sorakan lebih 80,000 penyokong yang hadir – termasuk Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed – pemain-pemain negara berjaya bangkit untuk mengikat Vietnam, sekaligus menjadikan perlawanan akhir kedua di Hanoi nanti sebagai perlawanan wajib menang.
Tujuh pemain JDT
Secara keseluruhan, JDT memiliki tujuh pemain di dalam senarai 23 pemain pasukan negara di kejohanan Piala AFF 2018 ini.
Penjaga gol, Farizal Marlias; pemain pertahanan Aidil Zafuan, dan Adam Nor Azlin; pemain tengah, Safawi Rasid dan Syameer Kutty; dan juga pemain penyerang, Syafiq Ahmad dan Hazwan Bakri.
Di antara tujuh pemain tersebut, Safawi Rasid telah beraksi di dalam semua perlawanan sepanjang kejohanan – temasuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Vietnam di peringkat kumpulan.
Syameer hanya direhatkan ketika Malaysia melayan kunjungan Laos dan Farizal Marlias menjadi pilihan utama Tan Cheng Hoe di hadapan gawang selepas dua perlawanan.
Syafiq Ahmad dan Hazwan Bakri turut pernah diturunkan sebagai pemain gantian, manakala Adam Nor Azlin menampilkan permainan meyakinkan selepas dibawa masuk menggantikan Nazirul Naim yang mengalami kecederaan dalam perlawanan pada malam tadi.
Mentaliti pemenang
Menurut TMJ, di JDT baginda menerapkan mentaliti pemenang atau pun ‘winning mentality’ di kalangan pemain-pemaian di kelab tersebut. Hasilnya kini turut diraih oleh pasukan negara.
“Di JDT, semuanya adalah mengenai ‘Winning Mentality’. Saya ‘push’ para pemain saya ‘to the limit’. Lama-kelamaan ia menjadi satu ketagihan.
“Mereka bukan sahaja melakukannya untuk kelab, mereka turut membawa mentaliti tersebut apabila bermain untuk negara.
“Saya bangga dengan kamu semua serta seluruh pasukan. Syabas.” ujar baginda dalam kenyataan tersebut.
Laluan berliku
Walaupun berjaya bangkit mengikat Vietnam di Bukit Jalil pada malam tadi, skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini bakal melalui laluan berliku kerana turut berhadapan dengan kelebihan gol di tempat lawan yang dimiliki Vietnam – selain aksi di arena lawan.
Kali terakhir pasukan negara bergelar juara kejohanan tersebut ialah pada 2010. Untuk perlawanan timbal balik nanti, sudah pasti ‘mentaliti pemenang’ setiap pemain akan ditagih jika pasukan negara mengimpikan gelaran jaguh bola sepak Asia Tenggara.